PETALING JAYA - Ketegangan isu tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur terus memuncak apabila Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru tampil menyuarakan tujuh tuntutan rasmi kepada pihak berkuasa pada Jumaat.
Pengerusinya, Zainab Alias menegaskan, gesaan utama mereka adalah supaya satu inkuiri mengikut Bab 4 Kanun Tanah Negara dijalankan segera terhadap status tanah di kampung berkenaan itu.
Ini kerana ujarnya, dokumen rasmi dan peta menunjukkan bahawa Kampung Sungai Baru merupakan kawasan 'Malay Agricultural Settlement' (MAS) iaitu tanah rezab Melayu dan seharusnya dilindungi daripada sebarang bentuk pengambilan secara sewenang-wenangnya.
"Jawatankuasa ini juga menuntut pembekuan semua pembangunan yang sedang dijalankan di kawasan itu sehingga siasatan itu selesai dan keputusan diperoleh.
"Sekiranya disahkan tanah tersebut adalah rizab Melayu, penduduk menuntut agar tanah itu dipulangkan kepada mereka dan sebarang pembangunan masa depan hanya dijalankan dengan penglibatan penduduk serta inisiatif kerajaan,"katanya ketika ditemui di Pejabat Lawyers For Liberty di sini pada Jumaat.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah aktivis Rafidah Ibrahim, Penasihat Jawatankuasa Muzaffar Razman dan peguam Zaid Malek yang bersama-sama mendesak keadilan segera.
Mereka juga menuntut kerajaan mengadakan rundingan adil antara pemaju dan penduduk yang terkesan, selain mendesak agar peruntukan kontroversi dalam Akta Pengambilan Tanah 1960 dikaji semula dan Seksyen 3(1)(c) yang disifatkan menindas, dimansuhkan dalam sidang Parlimen terdekat.
"Jika kerajaan enggan mengarahkan inkuiri seperti yang dituntut, warga Kampung Sungai Baru tidak akan berdiam diri. Kami akan berhimpun di Kementerian Wilayah Persekutuan pada 7 Mei 2025 untuk menuntut keadilan,” tegas Zainab.
Tujuh tuntutan yang diumumkan itu dijangka memberi tekanan besar kepada pihak kerajaan menjelang sidang Parlimen akan datang apabila isu pengambilan tanah dan hak penduduk asal di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur ini semakin menjadi perhatian ramai.