Selangor pertimbang haramkan vape

Iklan
Kerajaan Selangor akan mengadakan mesyuarat khas bersepadu dalam tempoh terdekat bagi meneliti keperluan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) di negeri ini. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Jamaliah)

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mengadakan mesyuarat khas bersepadu dalam tempoh terdekat bagi meneliti keperluan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) di negeri ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, perbincangan itu melibatkan Pejabat Menteri Besar dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pihak berkepentingan lain termasuk jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) juga turut dipanggil dalam mesyuarat secara komprehensif itu.

"Kita memandang serius isu ini dan akan memastikan pandangan semua pihak berkepentingan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Mengulas lanjut, Jamaliah memberitahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNS berperanan penting antaranya mengawal selia pendaftaran, penjualan dan penguatkuasaan kawasan larangan merokok dan vape mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852)

"Bagi peringkat kerajaan negeri, lesen perniagaan dikawal selia oleh PBT dan buat masa ini, lesen yang dikeluarkan khusus bagi penjualan peralatan elektronik, bukan untuk rokok elektronik atau cecair vape.

Iklan

"Perbincangan turut dijangka melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mendapatkan gambaran menyeluruh dari aspek penguatkuasaan, perundangan dan kesan terhadap sosio ekonomi," jelas beliau.

Beliau menjelaskan, sebarang keputusan yang bakal diambil kerajaan akan berlandaskan kajian terperinci dan mengambil kira kepentingan kesihatan awam, keberkesanan penguatkuasaan dan kesejahteraan rakyat.

"Saya menghargai keprihatinan semua pihak termasuk cadangan dikemukakan Timbalan Ketua Polis Negara baru-baru ini.

"Kita amat komited untuk meneliti isu ini secara menyeluruh dan inklusif," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Selangor sedia meneliti keperluan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Jamaliah dan JKNS terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualannya kerana lesen perniagaan itu berada di bawah PBT.

Ancaman dadah sintetik semakin membimbangkan apabila terdapat pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape yang dicampur dadah.