JAS, DVS siasat dakwaan pencemaran najis babi

Iklan
Sivanesan (kiri) bersama Kok Lim ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

IPOH – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menyiasat pencemaran air yang menjejaskan Sungai Bidor didakwa berpunca daripada aktiviti penternakan babi dan itik di Batu 2 ½, Jalan Bruseh dekat Bidor.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, kedua-dua agensi telah turun ke lokasi kejadian meninjau situasi dimaksudkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beberapa sampel air dari titik-titik strategik juga diambil untuk dihantar ke makmal bagi analisis lanjut, termasuk ujian Biochemical Oxygen Demand (BOD).

"Sampel telah diambil dari ladang babi dan ladang itik. Hasil siasatan mendapati ladang babi tersebut mematuhi peraturan ditetapkan, namun sampel efluen di bahagian akhir saliran pelepasan dan saluran ke sungai turut dihantar ke makmal untuk dianalisis.

Iklan

"Bagi ladang itik, siasatan mendapati ia tidak menggunakan kolam untuk menternak itik, maka tiada pelepasan sisa air kumbahan keluar dari kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim.

Iklan

Sivanesan memaklumkan hasil analisis penuh dijangka diperoleh minggu depan mengikut spesifikasi Enakmen Pengawalan Perladangan Babi 1992.

"Berdasarkan rekod persampelan tahun lalu dan Januari lalu, bacaan BOD ladang terbabit mematuhi kadar minimum yang ditetapkan iaitu pelepasan sisa kumbahan perlu kurang daripada 50ppm.

"Kesemua ladang babi di Perak kini sedang melaksanakan sistem Penternakan Babi Moden (MPF) yang menetapkan pelepasan sifar atau zero discharge. DVS menjalankan persampelan dua kali setahun bagi memastikan pematuhan ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan JAS Perak melalui sistem Environmental Quality Monitoring Program (EQMP) mendapati kualiti air di tiga stesen pemantauan manual Sungai Bidor berada dalam Kelas I dan II iaitu kategori bersih.

"Ujian terakhir pada Februari lalu menunjukkan status Sungai Bidor berada pada Kelas II.

"JAS akan terus menjalankan pemantauan dan ujian in-situ bagi menentukan status Indeks Kualiti Air,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mendesak kerajaan negeri menjelaskan isu kewujudan ladang babi di Kampung Poh yang terletak kurang lima kilometer dari kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning dan didakwa menjadi antara punca pencemaran Sungai Bidor.

Dalam masa sama, Sivanesan menyifatkan isu ladang babi yang dibangkitkan Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen PRK DUN Ayer Kuning sebagai tidak berasas dan bermotif politik.

"Pas sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana kita serius menangani isu ini.

"Kita telah menstruktur semula ladang babi dan menurunkan jumlahnya daripada 115 kepada 85 ladang yang benar-benar mematuhi piawaian,” katanya.