Fadillah kongsi detik cemas berdepan gempa bumi di Istanbul

Iklan
Fadillah (duduk) bersama rombongan diarah keluar dari bangunan Terminal VIP di Lapangan Terbang Istanbul selepas berlaku gegaran kuat akibat gempa bumi di Turkiye, pada Rabu. Foto Facebook Fadillah Yusof

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkongsi detik cemas dialaminya ketika berdepan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 6.2 magnitud ketika berada di Istanbul, Turkiye pada Rabu.

Beliau memberitahu, rombongan pihaknya ketika itu sedang berada di Lapangan Terbang Istanbul untuk penerbangan ke London bagi meneruskan lawatan kerja di United Kingdom ketika berlaku gempa bumi kuat yang menggegarkan Istanbul itu.

Iklan
Iklan

"Sebagai langkah berjaga-jaga, saya dan rombongan telah diarahkan untuk keluar dari bangunan Terminal Orang Kenamaan Penting (VIP). Gegaran pertama agak kuat dan selepas kira-kira 15 minit kami diminta masuk semula ke dalam bangunan.

"Namun, berlaku gegaran kedua yang tidak begitu kuat sejurus kemudian dan kami diminta keluar bangunan sekali lagi untuk kira-kira 10 minit sebelum dibenarkan masuk semula," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Iklan

Bagaimanapun, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air meluahkan rasa syukur kerana rombongan pihaknya selamat tiba di London selepas melalui detik mencemaskan tersebut.

"Alhamdulillah saya dan rombongan selamat tiba di London dari Istanbul pada jam 4 petang waktu tempatan, setelah mengakhiri lawatan kerja rasmi di Turkiye.

Iklan

"Terima kasih kepada semua yang bertanyakan khabar saya dan mendoakan kami susulan gempa bumi yang berlaku di Turkiye. Kami berada di Turkiye selama tiga hari," kongsi beliau lagi.

Terdahulu, beliau ke London bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga pada 24 hingga 25 April di London anjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan UK selepas mengakhiri lawatan kerja rasmi di Turkiye.

Menurut laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC), kira-kira 263 orang cedera selepas beberapa siri gempa bumi melanda kawasan berhampiran bandar raya terbesar Turkiye, Istanbul.