Destinasi pilihan pelancong Muslim

Iklan
Orang ramai hadir pada Majlis taklimat sinergi media sempena World #QuranHour 2026 yang berlangsung di Studio My #QuranTime, Karangkraf pada Rabu. Foto Mohd Halim Abdul Wahid

SHAH ALAM – Program World #QuranHour bukan sekadar memberi penekanan kepada penghayatan al-Quran, malah menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong Muslim.

Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata, selain World #QuranHour ia boleh dikembangkan kepada kursus intensif atau menawarkan short course kepada mereka yang berminat untuk mendalami dan belajar al-Quran.

Iklan
Iklan

“Jadi selepas pergi Makkah dan Madinah, umat Islam di seluruh negara boleh mengunjungi Malaysia kerana segalanya ada di sini. Mereka yang kurang pandai baca al- Quran pun boleh ambil short course di Malaysia.

“Biasanya, kita yang pergi ke luar negara dan mohon short course. Kenapa tidak kita buat untuk belajar al-Quran misalnya ambil tempoh hanya beberapa minggu sahaja.

Iklan

“World #QuranHour dah ada platform, jenama dan juta-juta tontonan kalau ada produk baru insya-ALLAH akan dapat sambutan,” katanya ketika memberi ucapan pada majlis Taklimat Sinergi Media Sempena World #QuranHour 2026 di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, bagaimanapun inisiatif itu bukan bertujuan untuk berniaga atau menjual al-Quran tetapi memudahkan individu yang ingin mempelajari kalam ALLAH.

Iklan

Orang ramai hadir pada Majlis taklimat sinergi media sempena World #QuranHour 2026 yang berlangsung di Studio My #QuranTime, Karangkraf pada Rabu. Foto Mohd Halim Abdul Wahid

Mengulas berhubung World #QuranHour 2026, beliau berkata, program ini amat baik kerana menekankan konsep AIDA iaitu Awareness (kesedaran), Interest (minat), Desire (keinginan) dan Action (tindakan).

“Tidak dinafikan ramai lagi pihak yang sukar membaca al-Quran, tetapi malu atau susah untuk mengaku.

“Bila ada platform sebegini, ia boleh menarik lebih ramai baca al-Quran. Bermula dengan kesedaran dan akhirnya berjaya.

“Jadi saya berpandangan kesedaran itu sangat penting,” ulasnya.

Penganjuran kali ke-11 World #QuranHour pada tahun ini akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak pada 11 Mac 2026 dengan tema ‘Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia’ berteraskan Surah al-Muzzamil.

Kali ini, terdapat sedikit kelainan apabila ia akan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

Antara rakan media yang terlibat adalah Astro Oasis, TV AlHijrah, Media Prima, TV9, Astro Awani, Bernama, Sinar Harian, IKIM FM dan Astro Oasis selaku penyiar utama.

Selain itu, World #QuranHour tahun ini akan diserikan dengan keberangkatan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merupakan Ketua Perlembagaan UAIM.