PUTRAJAYA - Pegawai Malaysia dan China akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dalam memperhalusi cadangan kedua-dua negara untuk melanjutkan program pengecualian visa selama tempoh 90 hari secara bersama untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedua-dua pihak mencapai persetujuan semasa lawatan negara, Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia minggu lalu.
Saifuddin berkata, semasa kunjungan Presiden China ke Malaysia baru-baru ini, kedua-dua negara telah menandatangani 32 perjanjian persefahaman (MoU) termasuk satu membabitkan Kementerian Dalam Negara (KDN) iaitu berkaitan lanjut pengecualian visa selama 90 hari.
"Secara prinsipnya kedua-dua negara bersetuju dari sudut pengecualian pengeluaran visa kepada rakyat China dan Malaysia diberikan untuk tempoh 90 hari.
"Kita juga bersetuju bahawa kemudahan berkenaan akan dilanjutkan untuk tempoh lima tahun dengan pilihan untuk disambung bagi tempoh lima tahu lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidifitri KDN bersama Perdana Menteri di sini, pada Khamis.
Majlis rumah terbuka berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan persembahan Ratu Rock, Ella serta warga KDN.
Susulan itu, Saifuddin berkata, pegawai KDN akan mengadakan perbincangan dengan pegawai kerajaan China dan tarikh kuat kuasa sambungan program pengecualian visa berkenaan akan diumumkan pada masa sesuai.
Menurutnya, ketika ini semua pelancong China dibenarkan memasuki Malaysia tanpa perlu memohon sebarang visa selama 90 hari selepas diperkenalkan mulai 2023.
Saifuddin berkata, pengecualian visa bersama China yang dilaksanakan secara percubaan pada hujung 2023 bagi memberi impak besar dalam merangsang sumbangan ekonomi melalui kunjungan pelancong dari negara itu.
"Bagaimanapun, tempoh pengecualian berkenaan akan tamat dalam masa setahun lagi sebelum disambung lima tahun lagi," katanya.