KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menjangkakan kebakaran terbuka di negeri ini akan mencatatkan penurunan lebih 50 peratus bagi tahun 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, dari Januari hingga Mac tahun ini hanya 189 panggilan kecemasan direkodkan, berbanding 1,897 panggilan sepanjang tempoh sama tahun lalu.
"Tahun lepas, Februari dan Mac merupakan bulan kemuncak dengan jumlah kes yang tinggi akibat cuaca panas melampau.
"Tetapi tahun ini walaupun musim panas masih dirasai, kehadiran ribut petir sekali-sekala telah membawa kepada banjir kilat di beberapa kawasan rendah dan secara tidak langsung mengurangkan risiko kebakaran terbuka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan di sini pada Khamis.
Menurut beliau, 60 peratus kes yang berlaku pada tahun lalu berpunca daripada pembakaran sampah.
Ujarnya, namun situasi agak berbeza tahun ini apabila lebih banyak kes melibatkan kebakaran lalang, dipercayai berpunca daripada aktiviti pembukaan ladang.
Farhan Sufyan memberitahu, walaupun jumlah kes menunjukkan trend menurun, pihak JBPM kekal bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya melibatkan kawasan tanah gambut yang mudah terbakar.
"Sebanyak 44 kawasan ‘hotspot’ dikenal pasti di sekitar Bachok, Pasir Mas, Tanah Merah dan Gua Musang, dan pemantauan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa.
"Kami turut menerima empat unit pam air sebagai persediaan menghadapi musim kemarau atau sebarang kejadian luar jangka,” ujarnya.
Farhan Sufyan turut menasihati orang awam agar tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan dan mematuhi arahan keselamatan terutama ketika cuaca panas yang tidak menentu ketika ini.