KAJANG - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan terhadap beberapa segmen yang menyumbang kepada peningkatan prestasi sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini bagi menambah baik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, antara segmen yang difokuskan termasuk mengenai kehadiran calon peperiksaan dan merapatkan lagi jurang keputusan yang wujud antara bandar dengan luar bandar.
"Memandangkan ada peningkatan maknanya kualiti pendidikan kita bertambah tinggi. Kita akan terus mengambil langkah penting untuk menambah baik keputusan ini khususnya berkait dengan beberapa segmen yang penting.
"Saya yakin ia telah berada dalam radar KPM untuk diambil tindakan. Kehadiran antara yang saya fikir cukup signifikan kerana intervensi yang kita lakukan telah dapat mengurangkan (ketidakhadiran) sedikit sebanyak.
"Kemudian yang terkait rapat dengan jurang luar bandar dan bandar. Pada tahun lalu, kita juga mengambil langkah intervensi bagi memastikan kelulusan terus meningkat untuk anak-anak ini layak mendapat sijil membabitkan dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau penyerahan slip keputusan SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent (M) Kajang, di sini pada Khamis.
Mengulas mengenai tawaran bahasa elektif di sekolah dengan memasukkan beberapa bahasa ASEAN, Fadhlina berkata, tidak timbul mengetepikan bahasa Tamil dan Mandarin.
"Bahasa asing ini sudah pun berada di peringkat sekolah secara elektif, ada bahasa Jerman, Perancis dan pelbagai bahasa lagi.
"Jadi tidak timbul soal untuk kita mengetepikan mana-mana bahasa, malah di sekolah vernakular memang bahasa Tamil dan Mandarin menjadi bahasa utama mereka selain daripada mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Jadi saya tidak rasa ada apa-apa isu kerana bahasa yang kita cadangkan ini hanya sebagai elektif seperti bahasa lain yang sudah pun kita perkenalkan di peringkat sekolah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fadhlina turut berkongsi mengenai kejayaan anaknya yang meraih 8A dalam SPM 2024.
KPM minta calon SPM 2024 sambung belajar walau apa jua keputusan
KAJANG - Kementerian Pendidikan (KPM) meminta semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 agar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa mengira keputusan yang diperolehi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia berikutan pelbagai peluang yang terbuka untuk pelajar di negara ini.
"Tahniah diucapkan kepada semua anak-anak, selain daripada keputusan ini apa yang penting adalah untuk terus menyambung
pelajaran ke peringkat yang tertinggi.
"Peluang tersebut ada di negara kita, insya-ALLAH kita akan berikan sokongan penuh kepada anak-anak semua,” katanya ketika ditemui selepas meninjau penyerahan slip keputusan SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent (M) Kajang, di sini pada Khamis.
Secara keseluruhan, keputusan SPM 2024 yang diumumkan hari ini menyaksikan seramai 355,933 calon atau 94 peratus layak diberikan sijil berbanding 349,297 calon (93.5 peratus) pada 2023, iaitu peningkatan sebanyak 6,636 calon (0.5 peratus).
Sementara itu, pencapaian calon yang memperoleh keputusan cemerlang gred A, A dan A- dalam semua mata pelajaran tahun lalu juga bertambah iaitu seramai 14,179 calon atau 3.7 peratus.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, masyarakat perlu meraikan semua calon peperiksaan SPM 2024 meskipun mendapat keputusan yang kurang memuaskan.
"Saya tak nak sebut tak cemerlang, kita kena ingat apa saja keputusan mereka menyumbang kepada gred purata sekolah, daerah dan negeri.
"Jadi keputusan mereka sangat penting. KPM juga minta raikan semua, bukan pelajar cemerlang sahaja kerana setiap mereka telah pun berusaha untuk mendapat keputusan masing-masing dan ada sumbangan kepada kelayakan, kepujian, kelulusan dan kejayaan,” ujarnya.