KUANTAN - Sebanyak 63 tan metrik kelapa tua telah dibawa masuk ke pasaran Pahang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan sepanjang dua bulan bermula Januari dan Februari lalu.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, langkah pembekalan tersebut dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai sebahagian daripada pelan intervensi khas.
"Terdapat empat pusat operasi FAMA yang menguruskan bekalan kelapa tua iaitu Pusat Operasi FAMA Kuantan, Pusat Operasi FAMA Jerantut, Pusat Operasi FAMA Lanchang, Temerloh dan Pusat Operasi Cameron Highlands.
"Bekalan ini kita peroleh dari Sabah, Sarawak dan Indonesia melalui ibu pejabat FAMA," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Su Keong Siong (DAP-Ketari) mengenai masalah kekurangan kelapa tua di Pahang dan perancangan atau usaha yang dilakukan bagi pembangunan industri penanaman ladang pokok kelapa di negeri ini.
Mengulas lanjut, Mohd Soffi berkata, sebanyak 3,672 hektar kawasan tanaman kelapa direkodkan di seluruh Pahang dengan pengeluaran 27,287 tan metrik tahun lalu.
Jelasnya, jumlah itu masih belum mencukupi bagi menampung permintaan semasa, khususnya bekalan kelapa tua yang diperlukan sekitar 350,000 biji atau 350 tan metrik sebulan.
"Permintaan tinggi terhadap kelapa disebabkan oleh penggunaan dalam pelbagai sektor seperti industri makanan dan minuman produk hiliran seperti santan, minyak kelapa dara dan air kelapa.
"Jadi, kita telah laksanakan beberapa inisiatif bagi merancakkan pembangunan industri penanaman kelapa, antaranya Program Tanaman Semula dan Penanaman Baru iaitu menggalakkan penanaman varieti kelapa produktif seperti kelapa matag," katanya.