Bela diri atau bebas: Nasib ibu bapa Zayn Rayyan 21 Julai depan

Iklan
Nasib sama ada ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin akan dibebaskan atau diperintah membela diri atas kes pengabaian kanak-kanak autisme itu, di Mahkamah Sesyen di sini, ditetapkan pada 21 Julai depan.

PETALING JAYA – Nasib sama ada ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin akan dibebaskan atau diperintah membela diri atas kes pengabaian kanak-kanak autisme itu, di Mahkamah Sesyen di sini, ditetapkan pada 21 Julai depan.

Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa, prosiding perbicaraan kes telah selesai dan mereka menutup kes berkenaan pada Khamis.

Iklan
Iklan

Seramai 28 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan terhadap Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, dalam perbicaraan yang berlangsung selama 20 hari, bermula 4 Februari lalu.

Hakim turut menetapkan 23 Mei depan untuk penghujahan bertulis, sementara penghujahan balas pada 6 Jun.

Iklan

"Mahkamah bercadang keputusan itu dibuat serentak dengan tarikh bicara, sekiranya mereka diperintah untuk membela diri.

"Jadi, kita tetapkan 21 hingga 24 Julai dan sekiranya perlu disambung 4 hingga 8 Ogos sebagai tarikh tambahan,” katanya.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan bahawa semua 28 saksi telah hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan terhadap kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 30 tahun itu.

Menurutnya, tiada lagi saksi lain akan dipanggil dan pihak pendakwaan ingin menutup kes.

"Kami menawarkan 23 saksi kepada pihak pembelaan dan senarainya telah diberikan kepada mereka,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Ketika ditanya hakim mengenai bilangan saksi pembelaan sekiranya dua tertuduh itu diperintah membela diri, peguam, Ramzani Idris berkata, mereka mungkin akan memanggil tujuh saksi, termasuk Zaim Ikhwan dan Ismanira untuk memberi keterangan.

Sepanjang perbicaraan, antara saksi yang dipanggil ialah dua kanak-kanak masing-masing berusia 10 tahun, doktor bedah siasat Zayn Rayyan, Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh

Dr Rohayu Shahar Adnan selaku saksi pendakwaan ke-27.

Saksi terakhir dalam kes ini pula ialah SP28, Pegawai Risikan Operasi di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Superintenden (ASP) Mohd Hafizee Ismail, 38, iaitu pegawai penyiasat kes kehilangan kanak-kanak malang tersebut.

Dalam prosiding ini, pembelaan turut diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Lavanesh Haresh.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.