Pahang sedia kurangkan kadar premium tanah bagi laksana projek pembangunan

Iklan
Wan Rosdy Foto Sinar Harian

KUANTAN - Kerajaan Pahang bersedia mempertimbangkan pengurangan kadar premium tanah bagi sebarang projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu turut melibatkan pembangunan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang telah dibincangkan dalam beberapa siri pertemuan termasuk bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Iklan

"Bila ada permohonan projek pembangunan daripada kerajaan Persekutuan, kita akan kenakan premium sewajarnya, selepas itu kerajaan Persekutuan boleh kemuka rayuan.

"Saya memberi jaminan kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk mengurangkan kadar premium pembangunan HTAA sewajarnya.

Iklan

"Kita tidak pernah menolak untuk mempertimbangkan rayuan daripada kerajaan Pusat khususnya bagi projek yang membabitkan orang ramai seperti pembinaan sekolah dan hospital," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Fadzli Mohd Ramly (ADUN Lantikan) yang membangkitkan isu kadar premium tanah yang tinggi sehingga mencecah ratusan juta ringgit.

Iklan

Beliau turut bertanya sama ada kerajaan negeri bersedia mengurangkannya kepada kadar nominal bagi mempercepat pembangunan HTAA.

Wan Rosdy menjelaskan Kerajaan Pahang kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengadakan beberapa sesi perbincangan bagi memperhalusi kadar premium tanah.

Katanya, perbincangan tersebut bagi tujuan pemberimilikan tanah kerajaan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) bagi pembangunan HTAA.

"Kita sentiasa terbuka dan akan mempertimbangkan kadar premium tanah yang bersesuaian bagi tujuan itu," katanya.