IPOH - Seramai 937 calon di Perak berjaya memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, meningkat berbanding 772 calon pada tahun sebelumnya.
Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai berkata, jumlah itu mewakili 3.41 peratus daripada keseluruhan 27,459 calon yang menduduki peperiksaan tersebut.
"Bilangan calon yang memperoleh keputusan semua A turut meningkat kepada sembilan orang berbanding enam calon pada tahun 2023.
"Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua warga sekolah yang berusaha memastikan pencapaian cemerlang ini dicapai,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sempena pengumuman keputusan SPM 2024 peringkat negeri Perak di Bilik Seri Budi, Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini pada Khamis.
Safuan berkata, calon yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran melibatkan dua orang daripada Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) masing-masing satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS Manjung, SMK Seri Keledang, SMK Ave Maria Convent, SMK Sam Tet, SMK San Min, SMK Seri Iskandar dan SMK Pei Yuen.
Sementara itu beliau menjelaskan pencapaian keseluruhan calon SPM di negeri ini turut menunjukkan peningkatan dengan Gred Purata Negeri (GPN) bagi tahun 2024 mencatatkan 4.63 berbanding 4.75 pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, peningkatan tersebut dicatat bagi tiga tahun berturut-turut bermula dari tahun 2022 yang memperoleh GPN 4.92.
Tambah beliau, seramai 25,774 calon atau 93.86 peratus calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) layak menerima sijil SPM 2024, meningkat 1.31 peratus berbanding tahun lalu.
"Negeri Perak juga telah mencatatkan peningkatan pencapaian lulus semua mata pelajaran yang diduduki.
"Seramai 16,483 calon atau 60.03 peratus telah memperoleh pencapaian lulus semua mata pelajaran berbanding 15,900 calon atau 58.33 peratus pada tahun 2023, dengan peningkatan sebanyak 1.70 peratus," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, jurang prestasi antara calon sekolah bandar dan luar bandar terus mengecil dengan perbezaan GPN hanya 0.01 mata iaitu masing-masing 4.63 dan 4.64.
Bagi calon Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), seramai tiga calon berjaya memperoleh 10A iaitu daripada kategori Kurang Upaya Pelbagai, Penglihatan dan Pendengaran.
Safuan turut memuji pencapaian murid orang asli yang menunjukkan prestasi membanggakan khususnya di SMK Bawong, satu-satunya sekolah menengah orang asli sepenuhnya di negeri ini.
"Pada tahun 2023, sekolah ini mencatatkan pencapaian lulus 100 peratus dan terus mengekalkan pencapaian tersebut pada tahun 2024.
"Sekolah itu mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus dan mencatat peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) daripada 6.10 (2023) kepada 5.49 (2024),” katanya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada SMK Dato’ Zulkifli Muhammad, Slim River dan SMK Dato’ Kamaruddin, Batu Kurau yang menunjukkan peningkatan GPS secara konsisten dari tahun 2021 hingga 2024 dengan purata lonjakan 1.51 mata.
Dari segi prestasi mata pelajaran, katanya sebanyak 39 daripada 80 mata pelajaran mencatatkan peningkatan, termasuk semua subjek teras seperti Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.