KOTA KINABALU - Tidak berhenti di lampu isyarat yang sudah bertukar merah punca dua dilaporkan maut dalam kemalangan di bawah jejambat berhampiran Taman Indah Permai, Sepanggar, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan lori yang berlanggar dengan motosikal.
"Siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an bersama dengan penumpang lelaki berusia 17 tahun datang dari arah jalan Tebobon menuju ke arah jalan Sepanggar.
"Siasatan lanjut daripada saksi bebas memaklumkan pemandu lori yang tiba di lokasi dipercayai telah melanggar lampu isyarat yang telah berwarna merah dan melanggar sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang remaja lelaki berumur 15 tahun.
"Ketika itu, giliran remaja tersebut untuk bergerak disebabkan lampu isyarat dalam keadaan hijau dilaluannya dan telah mengakibatkan berlakunya perlanggaran," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Susulan kejadian itu, Kasim berkata, lori tersebut telah terbabas dan melanggar tiang jejambat.
"Kedua-duanya telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas manakala penunggang motosikal pula turut mengalami kecederaan parah.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan dua lelaki maut selepas lori dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di lokasi tersebut.