SHAH ALAM – Penduduk di Lembah Klang semakin resah apabila setiap kali hujan lebat kawasan kediaman dan premis perniagaan mereka sering dinaiki air.
Situasi itu bukan sahaja mengakibatkan kerosakan harta benda, malah turut menjejaskan rutin harian penduduk yang terpaksa berdepan bencana itu secara berulang.
Seorang peniaga kedai runcit di Taman TTDI Jaya, M Jayasuria, 34, berkata, kejadian banjir pada Rabu bukanlah kali pertama berlaku, namun semakin kerap sejak insiden 'bah besar' pada Disember 2021.
"Keadaan tidak banyak berubah setiap kali hujan lebat, cuma saya bimbang kedai berisiko tenggelam.
"Saya masih ingat banjir besar dahulu, air masuk hingga menyebabkan hampir 60 peratus stok barang rosak.
"Kami terpaksa alihkan semua barang dan alami kerugian puluhan ribu ringgit dan sampai sekarang, tiada audit atau penjelasan daripada pihak berwajib,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 3, Saiful Azuan Deraman pula menyifatkan banjir di kawasan itu kini ibarat fenomena tahunan.
"Ban sungai di Kampung Kebun Bunga yang mendap menjadi punca lebih 30 rumah penduduk termasuk Surau Al-Hasanah hari ini (Rabu) dilanda banjir,” katanya.
Tambahnya, pembangunan pesat di kawasan sekitar termasuk projek lebuh raya dan perumahan baharu memburukkan lagi keadaan apabila aliran air tersekat.
"Kami mengambil inisiatif menggunakan empat pam untuk mengalirkan keluar air, tapi tetap tak surut.
"Hujan lebat sedikit sahaja sudah cukup untuk kampung ini banjir dan saya masih ingat banjir pada 18 Disember 2021 adalah sejarah hitam yang menyebabkan saya cemas memikirkan keselamatan warga emas dan kanak-kanak,” ujarnya.
Beliau turut mendesak pihak berwajib tampil dengan penyelesaian jangka panjang dan bukannya sekadar langkah sementara.
"Kita mahu penyelesaian menyeluruh agar penduduk bukan sahaja selesa tetapi juga selamat,” tegasnya.
Dalam pada itu, penduduk di Taman Seri Alam Saujana Utama turut berkongsi keresahan sama apabila bimbang hujan berterusan boleh menyebabkan kolam takungan berhampiran pecah sekali gus mencetuskan banjir.
Penduduk, Muhamad Akmal Abdul Ghani, 39, berkata, setiap kali hujan, perbualan dalam kumpulan WhatsApp penduduk menjadi cemas.
"Memang setiap kali hujan, kami saling bertanya tentang keadaan kolam takungan sama ada benteng penahan masih kukuh atau tidak.
"Kami risau kolam depan rumah pecah, malah tidur pun tak lena, asyik bangun malam tengok luar rumah sebab bimbang air melimpah masuk," katanya.