Pemuda PN lapor polis isu ladang babi, gesa campur tangan SPRM

Iklan
Nurhafizul ketika sidang media di hadapan IPD Tapah pada Rabu.

TAPAH - Pemuda Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis berhubung isu alam sekitar membabitkan pembuangan sisa kumbahan babi ke dalam Sungai Bidor dari ladang di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN Ayer Kuning.

Setiausaha Pemuda PN Perak, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, pihaknya menggesa siasatan segera terhadap pengurusan ladang terbabit yang disyaki melepaskan sisa tanpa mematuhi piawaian ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PN turut menggesa campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana wujud kebimbangan aktiviti itu melibatkan elemen rasuah, salah guna kuasa atau sogokan.

"Jika mengikut maklumat daripada penduduk setempat, isu pengoperasian ladang babi sama ada haram atau sebaliknya dah berlaku sejak dahulu lagi.

Iklan

"Amat mustahil kalau perkara ini tiada pemantauan dari aspek pencemaran air dan bau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kalau tak ada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, mesti ramai tak tahu isu ini sampai sekarang. Inilah hikmahnya (dibuat pilihan raya) dan PN ragu-ragu kenapa tak diambil tindakan,” katanya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) di sini pada petang Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri mendakwa lebih 30 ladang babi beroperasi di daerah Batang Padang termasuk berhampiran kawasan penempatan penduduk dan masjid.

Bagaimanapun, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan menafikan dakwaan itu, dengan menjelaskan jarak ladang berkenaan ke masjid sejauh 2.57 kilometer (km), manakala ke Kampung Tanjung Keramat sejauh 3 km

Susulan itu, PN membuat tinjauan lapangan bersama pengamal media selama dua jam di Kampung Poh, Bidor yang terletak di sempadan Ayer Kuning.

Rasional berbuat demikian disebabkan aliran sungai di kampung berkenaan mengalir masuk ke kawasan Ayer Kuning yang menjadi sumber air kedua dan lokasi rekreasi penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Nurhafizul berpandangan, siasatan perlu dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan kepada perairan awam bagi tujuan pertanian, penternakan serta minuman.

Selain itu, tambahnya, Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu larangan melepaskan bahan tercemar ke dalam sungai tanpa kelulusan dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009 (Akta 694) jika terdapat unsur sogokan, rasuah atau salah guna kuasa menyebabkan tiada tindakan penguatkuasaan dibuat.