'Guna pukat halus, bersauh tanpa izin'

Iklan
Sebuah bot nelayan dikendalikan warga asing di perairan Selangor pada Selasa.

PELABUHAN KLANG – Taktik sebuah bot nelayan dan kapal tangki yang beroperasi dengan melanggar undang-undang dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dalam operasi rondaan rutin di perairan negeri ini pada Selasa.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan dilakukan oleh Kapal Maritim Danga ketika menjalankan rondaan di kawasan perairan Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penahanan pertama membabitkan sebuah bot nelayan (VNT) Kelas C kira-kira jam 1 petang di kedudukan 17 batu nautika barat daya Pulau Tengah.

Anggota Maritim Malaysia sedang menjalankan pemeriksaan terhadap individu yang ditahan pada Selasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong bersama empat awak-awak warga Myanmar berusia antara 36 hingga 49 tahun.

Iklan

"Kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain pemeriksaan kapal berkenaan melanggar syarat lesen apabila menggunakan mata pukat kurang daripada 38 milimeter," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Pulau Indah untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Iklan

Abdul Muhaimin berkata, KM Danga turut menahan sebuah kapal tangki dalam tangkapan berasingan sekitar jam 3.15 petang di kedudukan 5.9 batu nautika barat Pulau Pintu Gedong.

"Kapal itu ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran. Ia dikendalikan seorang nakhoda warga Thailand berusia 36 tahun bersama 16 kru berusia antara 20 hingga 55 tahun.

"Kru terdiri daripada 13 warga Thailand termasuk dua wanita, dua warga Myanmar dan seorang warga Indonesia,” ujarnya.

Jelas beliau, pemeriksaan mendapati kapal itu melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mendapatkan kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan tidak mengibarkan bendera Malaysia.

Katanya, dua kru kapal termasuk Pegawai Dek Kedua dan Jurutera Kedua dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999.