PEKALONGAN – Penduduk di Desa Rowoyoso, Kecamatan Wonokerto, Kabupaten Pekalongan gempar apabila muncul aliran air secara 'misteri' sejak awal pagi Ahad lalu.
Susulan itu, ramai yang datang beramai-ramai untuk mengambil air tersebut yang didakwa mempunyai khasiat.
Air yang mengalir deras sejak jam 2 pagi waktu Indonesia Barat itu dianggap pelik kerana sebelum ini tidak pernah terdapat sebarang sumber mata air di kawasan itu malah air yang keluar adalah jernih dan tidak berbau.
Penduduk kemudian berpusu-pusu menuju ke lokasi mata air yang muncul secara tiba-tiba sambil membawa bekas air.
Penduduk Desa Semut, Kecamatan Wonokerto, Darno, 69, berkata, dia tiba di lokasi sekitar jam 8 pagi.
"Saya datang pagi-pagi, sudah ramai orang. Kaki saya sakit, macam kejang. Itu sebab saya tertarik ke sini. Saya minum, alhamdulillah sudah baik,” katanya pada Ahad.
Selepas membawa pulang sebotol air dan meminumnya, tidak lama kemudian dia mendakwa kakinya sembuh.
"Disebabkan sembuh, tengah hari ini saya datang lagi ke sini untuk ambil lebih banyak air,” tambahnya.
Tinjauan detikJateng sekitar jam 2 petang mendapati orang ramai masih berduyun-duyun datang.
Malah, penduduk dari kampung lain turut hadir untuk mendapatkan berkat daripada air yang dianggap ajaib itu.
"Air ini, walaupun dah diambil berkali-kali, tak pernah habis. Tetap mengalir keluar,” kata Joyo, penduduk Rowoyoso, sambil menunjukkan dua botol berkapasiti 20 liter yang dibawanya.
Ketua Desa Rowoyoso, Subkhan menjelaskan pada awalnya aliran air itu kecil, namun lama-kelamaan semakin deras.
"Ia pertama kali dikesan oleh penjual mi ayam pada jam 2 pagi, yang terdengar bunyi air mengalir.
"Apabila diteliti, rupanya berpunca dari tepi rumah Pak Yanto Ayam. Pagi itu airnya semakin besar, kemudian orang ramai pun heboh,” katanya.
Pihak desa segera menghubungi pihak Perusahaan Daerah Air Minum (PDAM) untuk memastikan punca sebenar air itu.
Petugas PDAM kemudian membuat siasatan memandangkan beberapa hari kebelakangan ini aliran air tidak normal dan disyaki berlaku kebocoran.
"Kami pastikan dahulu sama ada air itu dari saluran yang bocor. Bila kami tutup dari pusatnya, aliran air itu pun berhenti,” kata Misran, Ketua Unit PDAM Wonokerto.
Lokasi misteri itu mulai lengang apabila sumber ‘mata air ajaib’ tersebut disahkan sebagai saluran paip PDAM yang bocor. - Agensi