HONOLULU – Dua remaja perempuan warga Jerman telah ditahan dan diusir dari Amerika Syarikat (AS) selepas tiba di Hawaii kerana tidak membuat tempahan penginapan, lapor media tempatan.
Kes ini mencetuskan kebimbangan berhubung pelaksanaan dasar imigresen yang ketat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, apabila kesilapan kecil dalam perancangan perjalanan boleh membawa akibat yang serius.
Menurut laporan media Jerman Ostsee Zeitung, Maria Lepère dan Charlotte Pohl, kedua-duanya lulusan sekolah menengah dari Rostock, Jerman, sedang mengelilingi dunia dan telah mengunjungi negara seperti Thailand dan New Zealand.
Namun, perjalanan mereka terhenti apabila tiba di Honolulu pada 18 Mac lalu tanpa penginapan yang telah ditempah lebih awal.
Pihak imigresen Amerika Syarikat yang curiga terhadap niat mereka, mendakwa mereka mungkin berniat bekerja secara haram dan menahan kedua-duanya walaupun memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tiada rekod kesalahan.
Menurut Pohl, pegawai imigresen menganggap ketiadaan tempahan hotel untuk keseluruhan tempoh tinggal mereka sebagai sesuatu yang mencurigakan.
"Mereka berasa curiga kerana kami tidak menempah penginapan untuk lima minggu kami di Hawaii," katanya.
Kedua-dua mereka ditahan selama beberapa hari di sebuah pusat tahanan, di mana mereka mendakwa telah menjalani pemeriksaan penuh termasuk imbasan badan dan pemeriksaan bogel.
Mereka kemudian dipakaikan pakaian seragam penjara berwarna hijau dan ditempatkan di sel bersama tahanan lain, termasuk mereka yang menghadapi pertuduhan jenayah berat.
Lepère berkata, mereka tidur di atas tilam nipis yang berkulat dan diberi amaran agar tidak makan makanan yang telah luput tarikh.
Keesokan harinya, pegawai memaklumkan bahawa mereka akan diusir."Semuanya seperti mimpi ngeri," kata Lepère.
Insiden ini bukan yang pertama, apabila laporan menunjukkan peningkatan kes penahanan pelancong Eropah di bawah pentadbiran Trump. Tiga lagi warganegara Jerman turut dilaporkan telah ditahan baru-baru ini.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Jerman telah mengeluarkan nasihat perjalanan, mengingatkan warganya tentang risiko pengusiran walaupun mereka memiliki kebenaran perjalanan sah seperti sistem Electronic System for Travel Authorization, (ESTA).
ESTA merupakan sistem kebenaran perjalanan elektronik yang digunakan oleh AS untuk pelawat dari negara-negara yang tergolong dalam Program Pengecualian Visa (Visa Waiver Program – VWP). Negara Jerman adalah salah satu daripada lebih 40 negara yang menyertai program ini.
Dalam kenyataannya, kementerian itu menegaskan:"Sama ada kelulusan ESTA atau visa AS yang sah, ia tidak menjamin kemasukan ke Amerika Syarikat. Keputusan muktamad terletak pada pegawai imigresen di pintu masuk. Adalah disarankan untuk membawa bukti perjalanan pulang seperti tempahan penerbangan."
Kini, pihak Kementerian Luar Jerman sedang memantau situasi tersebut dan mungkin akan mengadakan rundingan diplomatik dengan pihak AS berkaitan layanan terhadap rakyatnya.
Pelancong antarabangsa dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan lebih teliti, termasuk membuat tempahan penginapan awal, bagi mengelakkan risiko ditahan atau diusir oleh pihak berkuasa AS.-Agensi