Kerajaan Perak nafi ladang babi dekat sebelah masjid, kampung

Iklan
Sivanesan menunjukkan peta lokasi ladang babi berhampiran Kampung Tanjung Keramat ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

IPOH - Kerajaan Perak menafikan dakwaan bahawa terdapat sebuah ladang ternakan babi terletak berhampiran sebuah masjid dan penempatan penduduk di Kampung Tanjung Keramat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning seperti yang dibangkitkan pembangkang.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan berkata, dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri dalam sidang DUN baru-baru ini kononnya ladang berkenaan terletak terlalu hampir dengan kampung dan masjid adalah tidak benar berdasarkan jarak sebenar lokasi berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan semakan yang dibuat, jarak dari ladang babi itu ke masjid yang dimaksudkan adalah sejauh 2.57 kilometer (km), manakala jarak ke Kampung Tanjung Keramat pula sejauh 3km melebihi syarat bagi mewujudkan ladang babi moden dengan zon penampan sekurang-kurangnya 200 meter.

"Semalam (Isnin) saya cakap kalau betul (ladang babi yang dimaksudkan) tak ada lesen boleh tutup dengan serta-merta. Sekarang pun saya mengaku kalau tak ada lesen esok pun boleh tutup ladang ini dan kalau seperti dia (Hafez) kata sebelah masjid esok pun boleh tutup tetapi pastikan tak ada lesen.

Iklan

"Dengan penjelasan ini saya harap orang kampung dan orang politik yang mainkan isu ini akan faham bahawa perkara ini akan diselesaikan," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Sivanesan berkata, syarikat yang mengusahakan ladang itu mempunyai lesen sah dan telah bersetuju untuk menukar operasi kepada sistem penternakan moden.

Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri memahami sensitiviti masyarakat terutama berhubung isu penternakan babi yang berdekatan kawasan penempatan majoriti Muslim.

"Saya sendiri tidak makan daging babi kerana bertentangan dengan ajaran agama saya. Jadi saya faham sentimen ini.

"Sebab itu kita ambil serius isu ini dan tampil beri penjelasan dengan fakta yang betul,” katanya yang juga ADUN Sungkai.

Dalam pada itu, Sivanesan turut membidas Ketua Pembangkang, Razman Zakaria kerana memainkan isu tersebut sedangkan ketika berada di dalam kerajaan, ADUN Pas itu merupakan Exco pertanian yang bertanggungjawab terhadap ladang babi.

Katanya, sejak dari zaman Datuk Dr Mah Hang Soon menjadi Exco kerajaan negeri, jumlah ladang babi yang ada di Perak sebanyak 115 buah sehingga zaman Razman.

"Sewaktu ketua pembangkang melawat tempat itu semasa jadi Exco, dia ada peluang keemasan sebab Exco pertanian lah bertanggungjawab untuk ladang-ladang babi ini seperti ayam dan sebagainya, tapi 32 bulan jadi kerajaan satu ladang pun tak selesai.

"Macam mana pula tiba-tiba dalam satu tahun ini boleh kurang ke 85? Bermakna saya buat kerja," katanya.

Sebelum ini persidangan DUN Perak hangat memperkatakan mengenai isu ladang babi di kawasan DUN Ayer Kuning yang dibangkitkan Hafez.