MUAR - Seorang penyelia kilang kerugian RM130,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh beberapa jam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, wanita tempatan berusia 46 tahun itu mula berurusan dengan sindiket selepas dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan Telegram pada 15 April lalu.
Menurutnya, mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp sebelum diberikan penerangan berkaitan pakej pelaburan, jumlah modal dan pulangan dijanjikan.
"Mangsa bersetuju melabur RM5,000 bagi pakej yang kononnya mampu memberikan pulangan RM225,000 dalam tempoh tiga hingga enam jam.
Tambah Raiz Mukhliz, sindiket itu turut meminta mangsa membuat beberapa bayaran tambahan termasuk caj perkhidmatan kononnya bagi menebus keuntungan.
Katanya, mangsa yang percaya dengan tawaran itu melakukan tujuh transaksi ke beberapa akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM125,000.
"Mangsa mula curiga selepas gagal membuat pengeluaran wang modal serta keuntungan sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
"Secara keseluruhan, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM130,000 yang merupakan wang simpanannya,” ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan luar biasa yang sukar dipercayai.
"Orang ramai disaran mengikuti nasihat dan maklumat semasa berhubung modus operandi sindiket penipuan menerusi laman media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya.