Peniaga vape degil, buka semula premis selepas disita

Iklan
Hilmi menjawab soalan di Sidang DUN Kelantan pada Selasa.

KOTA BHARU - Peniaga vape di Kelantan dikesan berulang kali membuka semula premis selepas disita pihak berkuasa, walaupun negeri ini tidak pernah meluluskan lesen penjualan rokok elektronik itu sejak tahun 2015.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, tindakan penguatkuasaan dilakukan secara berterusan namun peniaga tetap berdegil kerana kos modal yang rendah dan mendapat keuntungan besar.

Iklan
Iklan

"Sejak awal tahun ini sahaja sebanyak 10 operasi dilakukan dan 16 premis disita.

"Manakala sepanjang tahun lalu, sebanyak 40 operasi dijalankan melibatkan 67 premis yang turut ada antaranya dikenakan tindakan berulang,” katanya ketika menjawab soalan daripada Nik Bahrum Nik Abdullah (Pas-Chempaka) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Selasa.

Iklan

Hilmi berkata, kuasa penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya melibatkan premis, manakala tindakan terhadap peranti dan kandungan tertakluk di bawah bidang kuasa agensi Persekutuan seperti Kementerian Kesihatan, Kastam dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, kerajaan negeri menyedari risiko yang lebih besar membabitkan penjualan vape termasuk bahan sintetik, alat pemanas tidak selamat dan pengguna bawah umur.

Iklan

"Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai Oktober ini diharap dapat diperketatkan penguatkuasaan.

"Setakat ini, negeri ini bersama Johor antara yang kekal tidak meluluskan sebarang lesen kepada premis jualan vape,” katanya.

Kelantan, Persekutuan bergabung bantu petani, nelayan terjejas banjir


Kelantan, Persekutuan bergabung bantu petani, nelayan terjejas banjir

KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan dan Persekutuan berganding bahu menyalurkan hampir RM21 juta bantuan pelbagai bentuk kepada petani serta nelayan khususnya mereka yang terjejas banjir.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, antara bantuan utama ialah peruntukan tunai sebanyak RM18.98 juta daripada Kerajaan Persekutuan kepada pesawah terjejas.

"Melalui Tabung Bencana bagi sektor penternakan dan akuakultur, sejumlah RM563,930 diagihkan kepada 61 penternak yang terlibat bencana banjir

"Bantuan ini diberikan dalam bentuk makanan rumusan dan benih ikan kepada penternak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri, Mohd Huzaimy Che Husin (Pas-Pantai Irama) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Selasa.

Dalam masa sama, menurutnya, program pembangunan usahawan tani Al-Falah turut digerakkan dengan sasaran mewujudkan 1,000 usahawan tani Islamik di seluruh DUN.

"Bantuan sebanyak RM1.35 juta disediakan bagi menyokong peserta tani Al-Falah yang terlibat dalam fertigasi, penternakan lembu, kambing dan kelulut,” katanya.

"Kami juga giat menganjurkan kursus keusahawanan tani, penternakan dan perikanan dengan penglibatan pelbagai jabatan serta agensi berkaitan,” katanya.

Beliau memberitahu, bagi nelayan pula, kerajaan tersebut mengekalkan elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan selain subsidi diesel pada kadar RM1.65 seliter bagi meringankan kos operasi laut.

"Langkah-langkah ini diambil sejajar dengan misi kerajaan negeri untuk mengangkat sektor pertanian dan perikanan sebagai sumber pendapatan utama rakyat dan negeri,” katanya.