Jaga kualiti ikan patin - Sultan Pahang

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menjamah masakan para peserta pada karnival masakan ikan patin yang dianjurkan sempena Kembara Pahang 1.0 di Dataran Temerloh pada Isnin. Foto Bernama

TEMERLOH - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan pengusaha ikan sangkar khususnya patin menjaga kualiti supaya ia tidak terjejas susulan Temerloh terkenal di seluruh negara dengan hidangan tersebut.

Al-Sultan Abdullah bertitah sedemikian ekoran terdapat dakwaan aktiviti ‘mengklon’ ikan patin luar termasuk patin kolam yang dibawa masuk ke Temerloh.

Iklan
Iklan

"Jangan jual ikan patin celup atau klon kerana orang datang ke sini untuk rasa hidangan ikan patin tempatan yang asli.

"Jangan pendekkan rezeki orang lain dan juallah ikan patin dengan jujur," titah baginda.

Iklan

Al-Sultan Abdullah ditemui selepas bercemar duli berangkat bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Alam Shah di Karnival Patin dan Sukan Rakyat di Dataran Temerloh sempena Kembara Pahang 1.0 di daerah ini pada Isnin.

Al-Sultan Abdullah bertitah, idea pensijilan kepada pengusaha ikan patin sangkar di Temerloh bagi mengatasi isu klon spesies tersebut dari luar daerah dialu-alukan untuk memastikan keaslian ikan yang dijual kepada penggemarnya.

Iklan

Dalam pada itu, mengulas kembara tersebut, baginda amat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat kerana sanggup menunggu baginda dan rombongan meskipun berhadapan cuaca tidak menentu.

"Alhamdulillah sambutan diberikan begitu baik dan saya berterima kasih kepada semua yang sanggup menunggu walaupun dalam cuaca panas mahupun hujan.

"Saya memuji semangat mereka dan diharap ia berterusan bagi memeriahkan lawatan ini sehingga akhir," titah baginda.

Baginda bertitah, selain menyantuni rakyat, objektif utama program menjelajah empat daerah iaitu Maran, Temerloh, Bera dan Pekan itu diadakan adalah untuk melalui jalan yang belum pernah baginda lalui sebelum ini.

"Saya hendak tengok kawasan-kawasan yang saya tidak pernah sampai, contoh tadi laluan di tepi sungai semua itu, saya juga ingin melihat status keadaan jalan di sana sama ada elok atau tidak," titah baginda.

Ketika ditanya sama ada kembara itu akan dijadikan acara tahunan, baginda memberitahu akan mengkaji perkara tersebut.

"Saya akan kaji, mungkin dua tahun sekali dan akan melawat kawasan-kawasan lain pula," titah baginda.

Selain Maran dan Temerloh, kembara itu akan meneruskan jelajah ke daerah Bera pada Selasa sebelum ke Pekan selaku destinasi terakhir, Rabu ini.

Pelbagai acara bagi memeriahkan program itu turut diadakan antaranya kurniaan kepada asnaf, kenduri rakyat dan penyerahan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'Rasa).