SABAK BERNAM - Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) memperuntukkan sebanyak RM7.4 juta bagi program pembinaan dan pembaikan rumah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, peruntukan itu melibatkan pembinaan 62 unit rumah baharu dengan kos RM85,000 sebuah, selain kerja-kerja pembaikan 220 rumah veteran di seluruh negara.
Menurut beliau, setiap negeri menerima agihan purata sekitar 10 unit rumah baharu dan antara 20 hingga 30 unit rumah untuk kerja pembaikan, bergantung kepada keperluan.
"Projek pembaikan rumah ini dilaksanakan setiap tahun secara berterusan melalui kerjasama JHEV dan SPNB) (Syarikat Perumahan Negara Berhad)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Veteran MADANI ATM dan menyantuni bekas pesara, Sarjan (B) Hasan Nayan, 75, di Jalan Sentosa, Kampung Tengah, Pasir Panjang di sini pada Isnin.
Beliau memberitahu, sebanyak 15 buah rumah baharu telah mula dibangunkan setakat April ini.
Mengenai kos pembaikan, katanya, kadar siling yang ditetapkan ialah sebanyak RM17,000 sebuah rumah, namun dalam kes tertentu melibatkan kerosakan struktur, kelulusan tambahan sehingga RM30,000 boleh dipertimbangkan.
"Fokus utama kita ialah membantu veteran yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan memerlukan tempat tinggal selamat dan selesa.
"Ini antara langkah utama dalam usaha meningkatkan kebajikan dan mengurangkan beban mereka,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Adly turut memaklumkan, seramai 32,000 veteran tidak berpencen telah menerima bantuan sara hidup bulanan dengan jumlah bantuan sebanyak RM500 sebulan.
"Majoriti penerima adalah dalam kategori tidak berpencen dan bantuan ini penting bagi menjamin kesejahteraan asas mereka.
"Selain bantuan tunai, kementerian turut menyalurkan penghargaan kepada veteran melalui penganugerahan Pingat Jasa Malaysia, termasuk sembilan orang penerima," jelas beliau.
Beliau memberitahu, kerajaan turut memberi penekanan terhadap pemerkasaan ekonomi veteran melalui program bantuan keusahawanan.
"Sebagai contoh, baru-baru ini kita membantu seorang usahawan veteran di Sepang yang mengusahakan dodol dengan menyediakan mesin bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran,” katanya.