SABAK BERNAM – Sebanyak 85 peratus veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah usia 60 tahun mempunyai kerjaya kedua selepas menamatkan perkhidmatan dalam pertahanan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kebanyakan veteran menceburi bidang keusahawanan, selain terlibat dalam sektor industri dan keselamatan.
Menurutnya, Kementerian Pertahanan (Mindef) sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan veteran ditawarkan peluang kerjaya kedua yang bersesuaian memandangkan sebahagian besar daripada mereka menamatkan perkhidmatan pada usia sekitar 40 tahun.
"Veteran kita masih muda dan berpotensi besar untuk terus menyumbang dalam sektor awam dan swasta," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Veteran MADANI ATM serta menyantuni bekas pesara, Sarjan (B) Hasan Nayan, 75, di Jalan Sentosa, Pasir Panjang, di sini pada Isnin.
Beliau memberitahu, seramai 300 veteran ATM kini menyertai pasukan Renjer Hutan, satu inisiatif kerajaan yang memberi ruang kepada bekas tentera untuk terus berkhidmat menjaga keselamatan dan kelestarian alam sekitar negara.
Tambahnya, program MyWira di bawah Kementerian Sumber Manusia juga menjadi platform penting dalam menyusun penempatan semula veteran ke dalam industri yang memerlukan tenaga kerja berdisiplin dan berkemahiran tinggi.
Bagaimanapun, katanya, hanya 15 peratus daripada golongan veteran tidak lagi aktif bekerja kerana mereka memilih untuk bersara sepenuhnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Adly berkata, Kementerian Pertahanan bersikap terbuka terhadap cadangan melibatkan veteran dalam operasi kawasan sempadan seperti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Kami sentiasa bersedia bekerjasama dengan KDN untuk memanfaatkan kepakaran veteran khususnya dalam aspek kawalan keselamatan di kawasan sensitif,” jelasnya.
Mengulas cadangan pengambilan veteran sebagai warden di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), beliau menyambut baik langkah itu dan menyarankan agar perbincangan lanjut diadakan antara MRSM dan Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi menentukan pangkat serta peranan bersesuaian.
"Veteran ATM memiliki tahap disiplin dan kepimpinan yang tinggi dan jika mereka diserap ke dalam sistem pendidikan sebagai warden, ia mampu menyumbang kepada pembentukan sahsiah pelajar,” katanya.