Paus Francis meninggal dunia pada usia 88 tahun

Iklan
Paus Francis. Foto Agensi

VATICAN CITY – Ketua Gereja Katolik, Paus Francis, yang dikenali sebagai tokoh pembaharuan dalam institusi Vatican meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Pemimpin kepada lebih 1.4 bilion penganut Katolik itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.35 pagi waktu tempatan, hanya beberapa minggu selepas dibenarkan keluar dari hospital selepas dirawat akibat radang paru-paru berganda.

Iklan
Iklan

Kardinal Kevin Farrell mengumumkan pemergian Pope Francis dalam satu kenyataan penuh emosi.

"Saudara-saudari sekalian, dengan rasa dukacita mendalam saya umumkan pemergian pemimpin kita."

Iklan

Penampilan terakhir Paus Francis di khalayak umum adalah pada Hari Paskah yang disambut pada Ahad.

Francis atau nama sebenarnya Jorge Mario Bergoglio, dimasukkan ke hospital pada Februari lalu dan menjalani rawatan selama beberapa minggu akibat masalah pernafasan yang berlarutan, salah satu daripada beberapa masalah kesihatan yang dihadapinya sejak kebelakangan ini.

Iklan

Sepanjang 12 tahun memimpin Gereja Katolik sejak pemilihannya pada 2013, Paus Francis berusaha keras melakukan pembaharuan dan memodenkan institusi yang telah berusia lebih 2,000 tahun, di tengah-tengah krisis skandal penderaan seksual dan pengurusan kewangan yang lemah.

Beliau merupakan paus pertama dari benua Amerika dan juga dari aliran Jesuit, selain menjadi individu pertama dalam tempoh 1,200 tahun yang dipilih dari luar Eropah untuk memegang jawatan tertinggi itu.

Pemergian Paus Francis membuka tirai tempoh berkabung selama sembilan hari dan proses pemilihan penggantinya akan dimulakan oleh lebih 140 kardinal dari seluruh dunia dalam tempoh 15 hingga 20 hari akan datang. - Agensi