Laluan SPDH jadi lokasi tumpuan aksi bahaya mat motor

Iklan
Mat motor dilihat berkumpul di Persiaran Pahlawan pada malam minggu.

PORT DICKSON - Permukaan jalan lurus dan kurang kenderaan antara faktor Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) menjadi pilihan 'mat motor' berkonvoi dan menguji kelajuan jentera.

Tinjauan Sinar Harian malam Sabtu mendapati, hujan renyai tidak menghalang aktiviti kumpulan tersebut yang menjadikan kawasan persimpangan lampu isyarat di Persiaran Pahlawan berhampiran Taman Sunggala sebagai lokasi berkumpul sebelum memecut laju dengan pelbagai aksi berisiko tinggi.

Iklan
Iklan

Antara aksi yang dilihat termasuk gaya tunggangan ‘Superman’, selain ada yang sanggup melawan arus, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.

Pemerhatian mendapati kebanyakan mereka dipercayai pelajar bawah umur dan tidak dapat dipastikan sama ada memiliki lesen memandu atau sebaliknya.

Iklan

Seorang penduduk, Mohd Shaufiq Saher, 29, mendakwa, aktiviti tersebut sudah berlarutan sejak dia masih di bangku sekolah lagi terutama apabila ada program besar diadakan di daerah berkenaan.

Permukaan jalan lurus dan kurang kenderaan antara faktor SPDH menjadi pilihan mat motor berkonvoi dan menguji kelajuan jentera.

"Biasanya pada malam Jumaat dan Sabtu bermula lewat malam dan adakala berlarutan hingga jam 3 ke 4 pagi.

Iklan

"Walaupun polis ada buat sekatan jalan raya, aktiviti itu dilihat masih rancak cuma keadaannya sudah tidak seteruk dulu," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Syuairi Mohd Abkahalisatul Rohaizad, 29, mencadangkan supaya dipasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aktiviti di kawasan itu.

Katanya, tindakan sekumpulan mat motor berkumpul di persimpangan lampu isyarat terbabit bukan saja membahayakan diri sendiri tetapi juga pengguna lain.

"Pengguna yang melalui jalan ini bukan semua orang sini, dan jika pelancong luar yang tidak mahir dengan jalan di sini boleh sebabkan kemalangan," katanya.

Persiaran Pahlawan berhampiran Taman Sunggala tempat mat motor berkumpul malam minggu.

Sementara itu, Muhammad Syuaidil, 25, berkata, daerah berkenaan sememangnya menjadi tumpuan geng konvoi bermotosikal dari pelbagai peringkat usia.

Bagaimanapun katanya, ada segelintir geng konvoi yang mengambil kesempatan beraksi, menunjukkan kehebatan masing-masing sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Sudah ada beberapa kemalangan berlaku dan sehingga melibatkan kematian, tapi masih ada yang tak serik," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa lebuh raya terbabit telah dijadikan sebagai litar lumba, sebaliknya apa yang berlaku adalah tanpa dirancang.

"Mereka ini bukannya dari awal dah merancang nak berlumba, tapi bila dah ramai-ramai itu, mulalah ada yang nak tunjukkan aksi.

"Bagaimanapun kita sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan aktiviti samseng jalanan ini berleluasa," katanya.