Bukan pinjam, tetapi guna pen orang? Ketahui akad yang tepat menurut Islam

Iklan
WALAUPUN sekecil-kecil benda seperti sebatang pen pun, dalam Islam ada hukumnya. -Foto: CANVA

"SAYA pinjam pen awak, nanti saya pulangkan balik.”

Itu antara ayat yang sering kita dengar apabila seseorang mahu menggunakan barang milik orang lain termasuklah sebatang pen.

Iklan
Iklan

Namun begitu, ada yang berpandangan istilah ‘pinjam’ dalam situasi itu mungkin kurang tepat kerana apabila kita menggunakan pena itu, dakwatnya akan berkurangan.

Maka, adakah penggunaan itu benar-benar dikira sebagai pinjam atau ada akad lain yang lebih tepat?

Iklan

Walaupun perkara itu nampak remeh, ia tetap ada kaitan dengan lafaz ‘akad pinjaman’.

Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, dalam Mazhab Syafie, penggunaan sesuatu barang boleh dikira sebagai ‘akad pinjaman’ jika zat asal (ain) barang itu masih kekal dan tidak berubah sifat asalnya selepas digunakan.

Iklan

DR SYED SHAHRIDZAN

Beliau kemudian memetik pandangan Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullah dalam kitab Tuhfat al-Muhtaj yang menerangkan bahawa:"(Dengan kekalnya ain barang itu), maka tidak sah meminjamkan sesuatu seperti lilin untuk dibakar atau makanan untuk dimakan kerana manfaat kedua-duanya hanya diperoleh melalui penggunaannya sehingga habis (musnah).

"Oleh itu, sah meminjamkannya jika digunakan untuk perhiasan sahaja seperti duit syiling.

"Apa yang dimaksudkan dengan pinjaman oleh seseorang yang meminjam semata-mata untuk mendapat manfaat adalah perkara yang banyak, maka ia tidak menafikan si peminjam itu juga boleh mendapat manfaat daripada zat barang yang dipinjam seperti meminjamkan kambing atau pokok atau perigi untuk mengambil susu, anak, buah atau airnya; atau jika seseorang mengizinkan penggunaan barang-barang ini, maka itu juga mengandungi unsur peminjaman terhadap zat asalnya.

SESEORANG yang meminta izin untuk menggunakan pen milik orang lain dengan akad pinjam tidak menjadi masalah dari sudut hukum syarak walaupun diketahui dakwat itu akan berkurangan. -Foto: CANVA

"Ini kerana, asal dalam urusan ini adalah peminjaman terhadap ain (objek) barang, manakala manfaat-manfaat yang diperoleh hanyalah melalui jalan keizinan sebagai perkara ikutannya (sampingan).”

Melihat kepada pernyataan itu, jelas Dr Syed Shahridzan, seseorang yang meminta izin untuk menggunakan pen milik orang lain dengan akad pinjam tidak menjadi masalah dari sudut hukum syarak walaupun diketahui dakwat itu akan berkurangan.

Ini kerana penggunaan pen itu secara tidak langsung melibatkan peminjam mengambil manfaat daripada ain barang tersebut.

"Untuk lebih jelas, dakwat tidak dapat dimanfaatkan tanpa kewujudan batang pen itu sendiri. Oleh itu, unsur peminjaman terhadap barang (pen) berlaku dalam situasi ini.

"Selain itu, alasan lain yang mengharuskan akad pinjaman adalah kerana zat (ain) barang yang dipinjam tidak mengalami perubahan. Contohnya, apabila seseorang meminjam sebatang pen, pen itu akan dipulangkan dalam keadaan bentuk dan sifatnya tidak berubah atau berkurangan selepas digunakan,” katanya.

Bukan itu sahaja, ujar pendakwah itu lagi, ada sebab lain yang membolehkan akad pinjaman dalam situasi tersebut.

"Menurut uruf (adat kebiasaan), pemilik barang mengizinkan penggunaan manfaat daripada barang itu.

"Hukum asal bagi barangan yang kekal zatnya ialah akad pinjaman, manakala manfaat diperoleh daripadanya pula dikira sebagai sampingan (yang mengikut),” terangnya.

PENGGUNAAN pen milik orang lain dengan niat meminjam harus menggunakan ‘akad pinjam’ dan hukum pinjaman itu adalah sah. -Foto: CANVA

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa bukan semua barang sesuai menggunakan akad pinjaman.

"Dalam kes sebegini, akad yang sesuai digunakan ialah akad hibah (pemberian) atau hadiah,” katanya.

Ingatlah, walaupun sekecil-kecil benda seperti sebatang pen pun, dalam Islam ada hukumnya.

Ia mungkin nampak remeh, tetapi sebenarnya membuktikan kesempurnaan syariat Islam itu sendiri yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuk dalam bab meminjam pen.