KUANTAN- Data terbaharu kemiskinan di Pahang menunjukkan seramai 40 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar manakala kategori miskin pula membabitkan 13,483 KIR didaftarkan setakat 18 April lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, 36 KIR merupakan kaum Melayu iaitu sebanyak 90 peratus, India (7.5 peratus) dan Cina (2.5 peratus).
Menurutnya, beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mencatatkan jumlah KIR miskin tegar yang tinggi antaranya Tanjung Lumpur, Berserah dan Padang Tengku masing-masing dengan empat KIR.
"Ini diikuti DUN Benta dan Kuala Semantan dengan tiga KIR, sementara Triang dan Inderapura masing-masing dua KIR.
"Beberapa kawasan lain seperti Cheka dan Tahan mencatatkan satu KIR miskin tegar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Su Keong Siong (DAP- Ketari) pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.
Terdahulu, Keong Siong ingin tahu peratusan warga Pahang yang miskin dan miskin tegar mengikut pecahan DUN dan perancangan kerajaan negeri untuk menoktahkan bilangan kemiskinan tegar di negeri ini.
Wan Rosdy turut menjelaskan, kerajaan Pahang dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKDW) juga sentiasa giat berusaha untuk membantu menoktahkan bilangan miskin tegar di negeri ini.
Katanya, antara inisiatif yang dijalankan untuk golongan ini adalah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Tambahnya, PPRS adalah program pembasmian kemiskinan luar bandar dengan penyediaan bantuan bina baharu atau pembaikan rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar untuk memiliki kediaman yang selamat dan selesa.
"Selain itu, kita juga terlibat dalam program lnisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi yang menumpukan kepada pembasmian miskin tegar dan pengupayaan golongan miskin tegar, miskin dan B40 untuk meningkatkan pendapatan," katanya.
Menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Datuk Andasura Rabu (Pas-Beserah) berhubung kaedah pengumpulan data kemiskinan di kawasan DUN Beserah yang didakwa tidak menggambarkan realiti sebenar, Wan Rosdy menjelaskan kemiskinan adalah sesuatu yang subjektif.
Menurut beliau,kerajaan negeri tetap berpandukan kepada data yang dikumpul secara rasmi dan berstruktur.
"Tiga agensi yang bertanggungjawab dalam pengumpulan data ini ialah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang (BPEN)," katanya.