KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai hampir RM2.5 juta dalam beberapa siri rampasan di sekitar negeri ini.
Rampasan dadah jenis Methamphetamine, ketamin dan ganja itu merupakan yang terbesar pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan bernilai RM2,429,414,70.
Penolong Ketua Pengarah Kastam, Saidin Jalaluddin berkata, rampasan dadah jenis Methamphetamine dibuat di kawasan Mas Kargo, di sini pada pada 28 Mac lalu.
"Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 petang, sepasukan anggota kastam Bahagian Penguatkuasaan, Cawangan Narkotik, Kota Kinabalu telah merampas empat bungkusan yang tidak bernama di kargo tersebut.
"Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan itu disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine dengan berat 71.719 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2,295,008," katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam, di sini pada Isnin.
Katanya lagi, dalam rampasan berasingan di lokasi sama dan sebuah syarikat perkhidmatan kurier di sini, berjaya menemui ketamin dan ganja masing-masing bernilai RM86,800 dan RM47,606.70.
"Dalam dua kes tersebut berjaya menemui empat bungkusan disyaki dadah jenis ketamin dengan berat 434 gram manakala ganja seberat 15.357 kilogram," katanya.
Beliau yakin, modus operandi bagi ketiga-tiga kes tersebut menggunakan kargo udara untuk menyeludup dadah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
"Dadah tersebut datang dari Semenanjung dengan menggunakan laluan penerbangan dan diisytihar sebagai tanpa penama serta alamat penerima, walaupun ada nombor telefon tetapi tidak dapat dihubungi.
"Dipercayai Sabah dijadikan sebagai hub atau transit sebelum diedarkan di negara jiran dan kita menyifatkan ini rampasan terbesar sehingga April tahun ini," katanya.
Beliau memaklumkan, kesemua kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabit kesalahan.