KOTA BHARU - Sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dialu-alukan untuk menyertai pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang bagi menyemarakkan usaha menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mat Lazim Mohammad berkata, walaupun pelaksanaan inisiatif itu tertumpu kepada institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, namun sekolah-sekolah lain termasuk YIK digalakkan mengambil bahagian secara sukarela.
"Kita amat menggalakkan supaya semangat cinta negara ini dipupuk bersama oleh semua pihak dalam sistem pendidikan.
"Ini termasuk YIK yang juga membabitkan pelajar di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang peringkat negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong 1 di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim yang merasmikan majlis berkenaan.
Menurut Mat Lazim, pemakaian lencana tersebut perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Lencana mesti dipakai di sebelah kanan dada, selari dengan kedudukan tanda nama murid.
"Ia juga perlu dalam keadaan baik, tidak lusuh atau rosak dan tidak boleh diubah suai dari segi saiz, bentuk, warna mahupun kedudukan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan inisiatif itu melibatkan seramai 313,570 murid sekolah rendah dan pelajar menengah di bawah KPM di negeri ini.
Katanya, setiap murid menerima dua lencana dan diwajibkan memakainya pada setiap hari persekolahan termasuk ketika berpakaian seragam rasmi, pakaian sukan dan pakaian batik.
"Ini bukan sekadar simbol tetapi satu usaha membentuk jati diri dan mengukuhkan identiti kebangsaan dalam kalangan murid,” katanya.