SHAH ALAM - Ketika orang lain seusianya mendambakan rumah impian berkonsep moden, seorang penjual barangan lama memilih untuk memulihara rumah kayu tradisional di Sungai Manik, Telok Intan, Perak yang dibelinya dengan harga RM5,000.
Muhammad Sabree Jamal, 37, berkata, dia berhabis sehingga RM60,000 untuk 'menyiapkan' rumah yang disifatkannya mempunyai nilai sentimental tinggi kerana menyimpan banyak kenangan zaman silam, selain menjadi simbol warisan kampung halamannya.
Menurutnya, kos yang dibelanjakan meliputi upah bagi proses membuka dan memasang semula binaan asal termasuk kerja-kerja baik pulih bahagian rosak.
"Rumah ini dibina berdasarkan inspirasi rumah tradisional Melayu Perak. Saya menggunakan kombinasi kayu cengal di beberapa tiang rumah dan papan meranti dengan dicat warna hitam bagi menambah elemen rumah lama yang sederhana.
"Selain itu, penggunaan barangan perabot lama seperti kerusi, meja dan reka bentuk salir angin di bahagian atas tingkap yang sedikit berbeza membuatkan ia lebih unik," katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, rumah yang dibeli pada Ogos 2023 siap dibaik pulih sepenuhnya secara berperingkat selama tiga bulan.
"Saya nak kawan-kawan yang tak ada kampung rasa suasana kampung yang mereka tak pernah alami. Saya juga nak kenalkan barangan lama kepada generasi akan datang, terutamanya anak-anak saya.
"Setakat ini, sudah dua kali beraya di situ dalam tempoh dua tahun. Saya sekeluarga hanya pulang seminggu sekali atau dua minggu sekali kerana kini bekerja di Kuala Lumpur," katanya.
Bercerita lanjut, Muhammad Sabree berkata, minatnya terhadap rumah kayu tradisional mula bercambah kerana latar belakang kehidupan sederhana serta keinginan untuk mengekalkan elemen warisan Melayu.
"Saya memang minat rumah kayu. Kebetulan ada seorang pakcik nak jual rumah kayu dengan harga RM12,000 tapi saya dapat beli hanya dengan RM5,000. Mungkin rezeki saya,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sabree sering berkongsi perkembangan pembinaan rumah tersebut di aplikasi TikTok serta dalam kumpulan komuniti rumah kayu tradisional.
Perkongsiannya mendapat perhatian ramai dan turut menyuntik inspirasi kepada individu lain untuk memelihara warisan yang semakin dilupakan.
"Saya kongsi minat ini dengan ramai orang. Di Perak masih banyak rumah kayu terbiar. Kalau ada yang minat, boleh beli dan bina semula, secara tidak langsung kita mengangkat semula warisan tradisional ini,"katanya.