Rakyat sifatkan manifesto calon BN realistik

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad mengenai manifesto calon BN di PRK Ayer Kuning. Gambar kecil dari kiri: Nor Hasli, Wan Amirul, Hendra

TAPAH - Manifesto yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir disifatkan realistik dan mampu ditunaikan sehingga tamat penggal perkhidmatan sebagai wakil rakyat.

Penjawat awam, Nor Hasli Hashim, 39, berkata, kesemua tujuh tawaran itu bertepatan dengan kehendak rakyat dan bukan semata-mata mahu meraih undi untuk memenangi pilihan raya ini.

Iklan
Iklan

"Rakyat dalam kawasan DUN Ayer Kuning kebanyakan ialah petani dan pekebun sayur kecil jadi, usaha yang akan dibawa untuk memperluaskan akses pasaran bagi hasil tani dan produk kampung amat dialu-alukan.

"Agenda memperkasakan anak muda dan TVET amat dekat dengan jiwa anak muda sebagai persiapan tambahan negeri Perak sedang membina projek mega industri,” katanya ketika ditemui di Sungai Kurong di sini pada Ahad.

Iklan

Bagi peniaga, Wan Amirul Abdullah, 31, dia tertarik dengan usaha Setiausaha UMNO Tapah itu yang mahu memperkasakan ekonomi dan meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat.

"Bagi saya program kedai bergerak dan jualan Rahmah memberi peluang kepada peniaga kecil tempatan amat membantu rakyat jika dilaksanakan secara berterusan.

Iklan

"Saya berharap kesemua tawaran itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat di kawasan Ayer Kuning ini walaupun dalam tempoh singkat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) nanti,” katanya.

Bagi pemuda Orang Asli, Hendra Long Shahar, 27, dia mengucapkan terima kasih kepada Mohamad Yusri yang tidak melupakan masyarakat minoriti dalam mengemukakan manifesto beliau bagi kawasan DUN Ayer Kuning.

"Tawaran bimbingan dan kemudahan pendidikan, kesihatan dan pembangunan koperasi masyarakat Orang Asli itu jika dapat dilaksanakan sudah pasti memberi tambah baik kepada keluarga dan penduduk kampung di di sini.

"Disebabkan itu akan menyokong usaha beliau yang mana saya akan pulang untuk menjadi pemilih Sabtu nanti,” katanya.