KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan sebanyak 284 kes membabitkan nilai keseluruhan rampasan lebih RM800,000 sepanjang tahun ini hingga Sabtu (19 April).
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes sudah dituduh di mahkamah dengan nilai denda berjumlah RM50,000 manakala kompaun pula sebanyak RM50,300.
"Sebanyak 55 tangkapan turut direkodkan sepanjang tempoh tersebut," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPDN di sini pada Ahad.
Dalam pada itu beliau memberitahu, bagi kes melibatkan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, sebanyak 94 kes dibuka dengan nilai rampasan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM136,713.58.
Bagaimanapun jelas beliau, jumlah keseluruhan nilai rampasan untuk kes AKB mencecah RM804,996.48 dengan 54 tangkapan.
"Bagi kes ini nilai kompaun yang dikeluarkan ialah RM130,300 selain denda diperintahkan oleh mahkamah berjumlah RM50,000," jelasnya lagi.
Dalam tempoh sama Azman berkata, KPDN turut merekodkan sitaan petrol sebanyak 20,846 liter dengan nilai RM43,251.31 dan 14,963 liter diesel membabitkan nilai RM42,435.39.
Kata beliau lagi, pihaknya menerima 55 kes serahan daripada agensi penguat kuasa lain membabitkan pelbagai jenis barang kawalan termasuk petrol, diesel, gas memasak (LPG), gula, minyak masak serta tepung gandum dengan nilai rampasan sebanyak RM113,387.04.
"Tindakan tegas akan terus diambil ke atas mana-mana individu atau pihak yang cuba menyalahgunakan dan terlibat dalam penyeludupan barangan kawalan bersubsidi bagi memastikan kestabilan bekalan dan melindungi hak pengguna," katanya.