Tautan Perdana beri impak positif

Iklan
Wan Ahmad Dahlan (tengah) menyaksikan penyampaian sumbangan untuk pemasangan lampu jalan solar untuk kemudahan penduduk kampung.

BACHOK - Majlis Perasmian Penutupan Program Tautan Perdana di Kampung Telaga Ara, Gunong, Bachok memberi impak positif kepada penduduk di kampung berkenaan selepas baik pulih dan penambahan infrastrukturnya.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk dan menyantuni pesara uzur melalui program khas Ziarah Kasih pada sebelah petang.

Iklan
Iklan

Wan Ahmad Dahlan dalam ucapan perasmian memberitahu, program Santuni MADANI merupakan salah satu cara kerajaan memaklumkan peranan dan tugas hakiki penjawat awam ialah mendekati dan menyantuni rakyat.

"Objektif program juga untuk memastikan tiada komuniti yang tersisih daripada perhatian, perkhidmatan dan kasih sayang kerajaan.

Wan Ahmad Dahlan (dua dari kanan) menandatangani Perasmian Gazebo dan Monumen Laman Santuni Madani di Kampung Telaga Ara sempena Program Tautan Perdana.

Iklan

"Usaha ini sesuai dengan gagasan Malaysia MADANI yang mengangkat nilai ihsan, hormat dan kesejahteraan," katanya.

Beliau memberitahu, kerjasama antara Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKLW) dapat memastikan kemudahan penduduk kampung dapat dilaksanakan.

Iklan

"Rumah penduduk kampung yang sudah uzur dibaik pulih manakala masjid mendapat karpet baharu serta pagar dan gazebo," katanya.

Wan Ahmad Dahlan (kiri) menyantuni Ahazari dalam lawatannya di Kampung Telaga Ara

Beberapa pembaikan di sekolah turut dilakukan termasuk bilik mesyuarat guru dengan penyaman udara dan televisyen pintar untuk memberi manfaat kepada penduduk.

"Kita semua tahu bahawa faktor pendidikan dan pembangunan sahsiah penting bagi melahirkan generasi yang bijak dan tinggi dengan nilai-nilai murni.

"Melalui pendidikan juga dapat membantu mengubah masa depan untuk menjadi lebih baik," katanya.

Wan Ahmad Dahlan juga memberitahu, dalam konteks keilmuan, program berkenaan menyaksikan penganjuran forum hal ehwal Islam, khidmat meningkatkan kemahiran asas 3M (mengira, membaca dan menulis) dan kelas tambahan kepada anak-anak kampung yang ingin memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Ahazari (kanan) menerima cenderamata daripada Wan Ahmad Dahlan.

Beliau berharap, semua pembaikan dapat memberi manfaat kepada penduduk di Kampung Telaga Ara.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai tugas pegawai awam bukanlah semata-mata di pejabat sahaja.

Katanya lagi, dengan cabaran perkhidmatan awam yang semakin rumit dan sentiasa berubah, menjadi satu keperluan untuk pegawai awam sentiasa turun padang ke kampung-kampung mengambil tahu mengenai isu yang dihadapi di peringkat akar umbi.

"Justeru, saya harus puji pasukan INTAN khususnya di bawah pimpinan Datuk Dr Mohd Zabri serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKLW), yang telah bekerjasama secara strategik memastikan kemudahan untuk penduduk dapat dilaksanakan," katanya.

Mohamed Ariffin (kiri) menerima sijil penghargaan daripada Wan Ahmad Dahlan.

Antara aktiviti menarik lain yang disediakan ialah pertukaran topi keledar lama, pertukaran mushaf al-Quran lama, jualan rahmah, penggantian kad pengenalan dan pendaftaran borang permohonan pekerjaan sektor awam.

Sementara itu, pada sebelah petangnya, Wan Ahmad Dahlan mengadakan lawatan ke atas tiga pesara di Kampung Telaga Ara, Gunong.

Mereka berbesar hati kerana sokongan moral yang ditunjukkan membuktikan keprihatinan kerajaan mengenang jasa kakitangan perkhidmatan awam sepanjang tempoh bertugas.

Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ahazari Muhamad, 67, berkata, kunjungan itu sudah tentu menjadi satu semangat untuk mereka meneruskan kehidupan mereka.

"Sudah tentu saya teruja dan terasa dihargai apabila pimpinan tertinggi penjawat awam datang bertanya khabar," katanya.

A Halim (kiri) menerima cenderahati daripada Wan Ahmad Dahlan

Ahazari pernah bertugas Kuala Lumpur dan Kuantan sebelum berpindah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dengan pangkat terakhir sebagai sarjan.

Bagaimanapun beliau terpaksa bersara awal kerana menghidap penyakit asma, jantung dan kencing manis.

Beliau bersyukur kerana menerima sumbangan kerusi roda automatik yang memang diperlukan sebelum ini selain barangan seperti strip insulin dan glukometer.

"Saya pernah koma sembilan hari pada tahun 2007 dan selepas itu tidak dapat melakukan kerja-kerja berat dan memerlukan bantuan isteri, Rosmini Awang, 54," katanya.

Datuk kepada dua cucu itu aktif memelihara kambing pada tahun 2004 namun tidak dapat meneruskannya sejak dua tahun lalu apabila selalu diserang sakit.

Pesara pekerja rendah awam, Mohamed Arifin Mat Adam, 74, mengakui terkejut menerima panggilan daripada beberapa pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) beberapa hari lepas yang memaklumkan Wan Ahmad akan menyantuninya pada Sabtu.

Katanya, lawatan berkenaan merupakan penghargaan terhadap beliau selepas lebih 10 tahun bersara dalam perkhidmatan kerajaan.

Mohamed Ariffin

"Hari ini (Sabtu) merupakan kali pertama ada lawatan daripada pimpinan JPA dan memang saya tidak menyangka dipilih menerima tetamu istimewa ini," katanya.

Mohamed Arifin yang menghidap penyakit darah tinggi memberitahu, selepas bersara beliau hanya melakukan kerja-kerja kampung termasuk memelihara lembu dan bercucuk tanam.

"Wang pencen yang diperoleh sebanyak RM1,000 dimanfaatkan untuk meneruskan kehidupan bersama isteri selepas kesemua enam anak mempunyai kehidupan mereka sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Arifin berkata, penjawat awam kini mempunyai banyak kemudahan berbanding ketika zamannya selain memperoleh gaji lebih lumayan.

"Syukurlah kakitangan awam hari ini lebih mewah dengan bayaran gaji lebih tinggi untuk menjalankan tugas yang semakin mencabar," katanya.

Dalam lawatan sama, Wan Ahmad turut menyantuni bekas posmen A Halim Sulong, 70, yang bersara pada 2011.

A Halim pernah diserang angin ahmar sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2019 dan 2023 yang menyebabkannya terpaksa berhenti menoreh getah.

"Saya sangat berbesar hati kerana Tan Sri sudi melawat kami di kampung dan membawa cenderamata untuk kami," katanya.

Bagi warga emas itu, kedatangan 'orang jauh' sangat dihargai kerana sanggup berkorban masa bertanya khabar golongan pesara.

"Lawatan itu membuktikan kami para pesara tetap mempunyai 'nilai' walaupun sudah lama berhenti daripada perkhidmatan," katanya.