Individu miliki kecenderungan seksual tidak normal perlu dirawat

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kejadian kes mencuri pakaian dalam. Gambar kecil: Wan Mohd Rushidi

Kecenderungan seksual yang tidak normal terhadap objek seperti seluar dalam, baju dalam, kasut dan barangan kulit merupakan gangguan jiwa yang dikategorikan sebagai Fetishistic Disorder.

Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi, Kedah Medical Centre, Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud berkata, gangguan itu menyebabkan individu memperoleh rangsangan atau kepuasan seksual melalui objek tertentu, dalam kebanyakan kes mereka lebih tertarik kepada objek yang telah digunakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hobi pelik itu kebiasaannya bermula sejak usia baligh atau awal remaja dan majoriti penghidapnya adalah golongan lelaki.

"Dalam sesetengah kes, individu terbabit sanggup beli atau mencuri objek tersebut demi memuaskan keinginan seksual mereka. Mereka mungkin tidak memerlukan pasangan untuk mencapai matlamat mereka.

Iklan

"Cukup hanya dengan menyentuh atau melihat objek yang menjadi tumpuan keinginan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Wan Mohd Rushidi berkata, gangguan jiwa itu hanya akan dikategorikan sebagai penyakit mental apabila ia mengganggu fungsi harian, menyebabkan tekanan emosi atau mendorong kepada perlakuan jenayah.

Iklan

"Fetishistic Disorder merupakan salah satu daripada beberapa gangguan seksual yang diiktiraf dalam bidang psikiatri. Gangguan lain termasuk, Exhibitionistic Disorder (menunjukkan kemaluan kepada orang lain), Frotteuristic Disorder (suka geselkan kemaluan pada badan orang lain tanpa izin).

"Pedophilic Disorder (rangsangan seksual terhadap kanak-kanak), Voyeuristic Disorder (suka mengintai individu dalam situasi intim), Sexual Sadism and Masochism Disorder (mendapat rangsangan dengan menyakiti atau disakiti) serta Transvestic Disorder (rangsangan seksual apabila memakai pakaian jantina berlawanan),” jelasnya.

Menurutnya, individu yang mengalami kecelaruan itu perlu tampil mendapatkan bantuan profesional seperti kaunseling atau terapi psikoseksual.

"Tidak semua keinginan luar kebiasaan ini dianggap penyakit. Namun, apabila ia mula mengganggu kehidupan seharian atau melibatkan perlakuan jenayah, rawatan perlu diberikan segera.

"Golongan ini perlu dikenal pasti dan dibantu untuk dapatkan rawatan, antaranya dengan menjalani terapi tingkah laku dan pengambilan ubat tertentu,” katanya.

Dr Wan Mohd Rushidi memaklumkan, antara faktor yang mendorong seseorang berkelakuan sedemikian termasuk pengaruh daripada media, contoh yang ditunjukkan orang sekeliling seperti ibu bapa serta trauma dialami semasa zaman kanak-kanak.

"Tekanan hidup dan stres turut menjadi pencetus kepada tingkah laku tidak sihat ini.

"Ramai daripada mereka yang ada kecenderungan ini sebenarnya tidak mendapat rawatan sewajarnya. Mereka hanya ditangkap, dihukum dan selepas dibebaskan, kemungkinan besar akan mengulangi perbuatan sama kerana masalah asas tidak dirawat,” katanya.

Menurutnya, golongan ini kebiasaannya menyembunyikan kecenderungan mereka daripada pengetahuan umum, namun boleh bertindak di luar kawalan sekiranya mengalami tekanan, tidak mendapat kerjasama daripada pasangan atau tidak mempunyai akses kepada saluran yang boleh meredakan nafsu mereka secara selamat.

"Ada juga kes di mana mereka lebih terangsang apabila melakukan perbuatan seperti mencuri atau melanggar batas undang-undang. Jika dihalang, ia boleh mencetuskan tingkah laku ganas,” tambahnya.

Menurut beliau, statistik tidak rasmi mendakwa dianggarkan 10 peratus individu dalam masyarakat mempunyai kecenderungan tertentu terhadap tabiat seksual luar kebiasaan.

Bagaimanapun katanya, hanya sekitar satu peratus yang benar-benar mengalami gangguan jiwa ini boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

"Rawatan awal seperti terapi tingkah laku dan intervensi psikologi boleh dilakukan agar mereka menjalani hidup lebih stabil dan mengelakkan risiko kepada masyarakat.

"Jika pasangan faham dan beri kerjasama, biasanya mereka tidak menimbulkan ancaman. Masalah hanya timbul apabila tiada sokongan atau jalan keluar untuk mengawal nafsu mereka,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan agar pihak berkaitan menyediakan ruang rawatan yang komprehensif kepada individu terbabit.

"Hukuman sahaja tidak mencukupi, rawatan dan pemulihan adalah langkah penting dalam menangani isu ini secara menyeluruh,” katanya.