KUANTAN – Titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar kemelut pencerobohan tanah secara haram di negeri ini dinoktahkan, dilihat mampu membuka jalan ke arah penyelesaian lebih berkesan terhadap isu yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Pembalakan, Mejar (B) Mohd Rosmani Md Sharif berkata, apabila Sultan sendiri menzahirkan pendirian bahawa pencerobohan itu merupakan perompakan terbuka terhadap harta negeri, ia menunjukkan betapa seriusnya isu tersebut pada pandangan baginda.
Menurutnya, rakyat menjunjung tinggi titah baginda dan mengharapkan tindakan lebih tegas diambil bagi membendung pencerobohan tanah kerajaan daripada terus berlaku.
"Sebagai rakyat, kita ingin melihat tindakan lebih tegas termasuk mengheret penceroboh serta pihak-pihak lain yang terlibat ke muka pengadilan sebagai pengajaran.
"Selain tindakan penguatkuasaan, siasatan menyeluruh perlu dijalankan untuk mengenal pasti kemungkinan wujud unsur salah laku termasuk rasuah,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mohd Rosmani berkata, kawasan yang kini diceroboh untuk tanaman durian musang king di Raub itu pernah menjadi lokasi perjuangannya menentang pengganas komunis kira-kira 40 tahun lalu.
Katanya, beliau antara yang terlibat dalam Ops Indera di kawasan tersebut sekitar tahun 1986 hingga 1987.
"Semasa Ops Indera itu, kami ditugaskan memburu Ketua Unit Penggempur Ke-6 Parti Komunis Malaya (PKM) yang beroperasi di sekitar Raub, Bentong, Genting Highlands dan Hulu Selangor.
"Ketika itu, tempat tersebut dikenali sebagai kawasan komunis. Tidak disangka kini ada pihak yang meneroka secara haram dan menjadikannya kebun durian,” katanya.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa sebanyak 14,494.9 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
Baginda turut bertitah, seluas 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) juga telah diceroboh atas nama pertanian, namun hakikatnya merupakan perompakan terbuka terhadap harta negeri.
Dalam titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang pada Jumaat lalu, baginda menegaskan bahawa isu pencerobohan tanah ini bukan perkara baharu, malah telah berakar sejak lebih empat dekad lalu