KUANTAN - Tindakan tegas yang diambil oleh kerajaan Pahang perlu diikuti negeri-negeri lain untuk memastikan pencerobohan tanah khususnya di kawasan hutan simpan tidak terus berlaku di negara ini.
Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, ia untuk memastikan kelestarian alam sekitar dapat dikekalkan walaupun isu tersebut telah berlarutan lama.
Menurutnya, SAM menjunjung kasih titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa pencerobohan tanah menjadi musuh utama di negeri itu dan bukan hanya dadah dan penjenayah.
"Titah Tuanku ini memberikan satu pengajaran kerana tempat lain tidak berani buat, kerana jika diambil mudah ada lagi pihak lain ambil kesempatan..
"Jadi tindakan tegas Pahang juga perlu diikuti negeri-negeri lain kerana isu ini juga berlaku di tempat lain.
"Tindakan penguatkuasaan pada masa kini dilihat lebih sesuai kerana kalau hendak berikan kesedaran secara pendidikan sudah kurang sesuai kerana ia perlu dilakukan di peringkat awal," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Jelas beliau lagi, agensi-agensi penguat kuasa bukan sahaja di Pahang malahan seluruh negara perlu cakna dengan titah baginda kerana penerokaan tanah khususnya di kawasan hutan simpan membimbangkan dan jika dibiarkan berterusan menjejaskan ekosistem hutan itu sendiri.
"Penceroboh mendapat keuntungan tapi yang menerima kesannya orang ramai.
"Kita meminta jabatan berkaitan supaya mengambil tindakan tegas tanpa kompromi dalam isu ini," tambahnya.
Jelasnya, dengan kecanggihan teknologi pada masa kini serta pelbagai saluran yang ada, ia bukan satu alasan buat jabatan dan agensi berkaitan tidak mengambil tindakan.
Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah bertitah mengenai pencerobohan tanah di negeri itu sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Baginda juga menegaskan tiada sebarang kelulusan baharu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.