Kenyataan MB Pahang diulas luar konteks dan gelojoh

Iklan
Kenyataan Wan Rosdy mengenai tindakan Ahli Parlimen Raub bersifat individu dan tidak mewakili parti. Gambar kecil: Mohd Fakhrul

KUANTAN - Pemuda UMNO Pekan kesal apabila kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkenaan tindakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang tidak mewakili pendirian sebenar parti DAP telah diulas di luar konteks dan secara gelojoh.

Ia susulan tindakan pemimpin dari DAP itu menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub, Pahang baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, kenyataan Wan Rosdy menjengah ke dimensi baharu apabila 'diserang' seperti tiada hari esok.

Menurutnya, komen-komen netizen di media sosial seakan lupa tindakan tegas ke atas pekebun haram di Sungai Ruan, Raub itu tidak akan berlaku tanpa tekad politik kuat dan keputusan tegas daripada Menteri Besar Pahang itu.

Iklan

"Umum mengetahui, kegiatan penerokaan haram atas nama aktiviti pertanian ini sudah berlangsung puluhan tahun lamanya dan tidak sedikit kerugian yang dialami kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam bentuk cukai.

"Pada November tahun lalu, beliau (Wan Rosdy) juga telah memberikan jaminan kawasan berhutan seluas 2.06 juta hektar mewakili 57 peratus keluasan negeri ini akan dijaga dan tidak akan berkurangan," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mohd Fakhrul Akhmal berkata, daripada jumlah itu, seluas 1.6 juta hektar merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diuruskan berdasarkan Amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (SFM).

"Kerajaan negeri juga sudah mewartakan seluas 645,751 hektar ataupun 40 peratus kawasan HSK ini sebagai hutan perlindungan yang tidak boleh disentuh apalagi diusik untuk kerja-kerja pengusahasilan hutan.

"Fakta ini meletakkan Pahang sebagai penyumbang terbesar kawasan berhutan dalam kalangan negeri-negeri di Semenanjung," ujarnya.

Justeru beliau kesal andainya segelintir rakyat memilih untuk mendahulukan sentimen dan tafsiran tanpa asas.

"Apa guna komitmen demi komitmen, fakta demi fakta, dan pencapaian demi pencapaian andai rakyat kita memilih untuk mendahulukan sentimen dan tafsiran tanpa asas.

"Janganlah dek kerana kita terlalu rakus dalam menghukum, kita keliru antara kebenaran dengan kebebalan," ujarnya.