PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mengenal pasti 10 lokasi panas penyeludupan di sepanjang perairan di negeri ini apabila penyeludup memilih laluan laut selepas penutupan pangkalan haram di Sungai Golok dikuatkuasakan pada Disember tahun lalu.
Ia melibatkan kawasan di Pengkalan Kubor (Tumpat), Kota Bharu, Bachok dan Tok Bali (Pasir Puteh), di mana penyeludup memilih kawasan tebing yang mempunyai laluan keluar masuk kenderaan.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, aktiviti tersebut kebiasaannya dilakukan sekitar jam 3 hingga 6 pagi."Mereka (penyeludup) telah menukar modus operandi dengan memunggah barangan seludup terutama rokok menggunakan kenderaan kecil bagi mengelakkan kerugian besar apabila rampasan dilakukan.
"Sebelum ini lori banyak digunakan untuk mengangkut rokok namun kini mereka beralih kepada kereta,” katanya semasa sidang akhbar Majlis Rumah Terbuka Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pangkalan haram kebiasaannya dibuat di tebing serta pesisir pantai dan alur sungai.
Ujarnya, rokok yang diseludup dari negara jiran akan dibawa melalui laluan laut menggunakan bot berkelajuan tinggi, manakala penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) pula banyak menerusi penyamaran menggunakan bot pemancing.
"Kami akui selepas pangkalan haram di Sungai Golok ditutup, penyeludupan mula memilih laluan laut sebagai alternatif untuk mereka menjalankan aktiviti haram.
"Bagaimanapun kami sentiasa menguatkuasakan rondaan serta mempunyai membuat pemantauan,” katanya.