TAPAH - Pemuda Sosialis Malaysia (PSM) bersama Teroka by Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan buat anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan memfokuskan enam perkara kritikal.
Calon PSM, Bawani KS berkata, perkara dimaksudkan adalah memperjuangkan hak mahasiswa, mewujudkan peluang pekerjaan yang adil serta menangani penghijrahan bakat muda.
Selain itu katanya, memperkukuh bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menuntut sistem pendidikan praktikal serta memperkenalkan reformasi struktur dalam pentadbiran tempatan atau ekonomi rakyat.
"Setiap tahun, ribuan mahasiswa menjalani latihan industri selama empat hingga enam bulan, bekerja lapan ke sembilan jam sehari tanpa terima bayaran setimpal.
"Justeru, kami mencadangkan kerajaan mewajibkan semua majikan membayar elaun setara dengan gaji minimum negara.
"Kami juga menuntut satu sistem pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang seimbang dan inklusif dengan nisbah 50:50 antara merit akademik serta latar belakang sosioekonomi,” katanya.
Bawani berkata demikian sambil ditemani jurucakap Teroka by Muda ketika sidang akhbar di bilik gerakan PSM di Pusat Perniagaan Ayer Kuning (PPAK) di sini pada Jumaat.
Beliau berpandangan, sistem pendidikan negara juga mesti menumpukan penguasaan kemahiran praktikal dan bukan sekadar pencapaian akademik.
Tambah Bawani lagi, Rang Undang-Undang Anti-Diskriminasi Pekerjaan perlu digubal dan dikuatkuasakan susulan amalan sedemikian masih berlaku secara terbuka di tempat kerja.
"Di samping itu, dalam memastikan jaminan sosial dan kesejahteraan jangka panjang, kami mencadangkan pelaksanaan Pendapatan Asas Sejagat (UBI).
"Kami juga menuntut peruntukan belanjawan negeri diagihkan secara lebih adil berdasarkan sumbangan kepada persekutuan, kuasa pentadbiran tempatan diperkasakan termasuk cukai dan pilihan raya PBT disegerakan.
"Akhir sekali, kami cadangkan insentif untuk menggalakkan kerja secara jarak jauh, mewujudkan peluang agar Malaysia menjadi hab bakat global serta menarik kepulangan warganegara dari luar khususnya dalam sektor pembangunan dan penyelidikan (R&D),” ujarnya.