KUALA LUMPUR - Polis akan terus memburu 'ikan jerung' serta dalang utama melibatkan sindiket pengedaran dadah di negara ini.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che berkata, walaupun terdapat pelbagai cabaran, pihaknya berusaha keras mengenal pasti dalang utama sindiket dadah dan mengheret mereka yang terlibat ini ke muka pengadilan.
"Kami berdepan pelbagai cabaran, yang mana saya tidak boleh dedahkan secara terperinci, namun apa yang boleh saya katakan, JSJN sedang berusaha sedaya upaya membanteras ancaman dadah ini.
"Kami tidak mahu masyarakat menganggap bahawa JSJN hanya menyasarkan 'ikan bilis', pelbagai operasi berskala besar sedang dirancang termasuk mengenal pasti dalang sebalik rangkaian pengedaran dadah dan menangkap mereka dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Jumaat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai Malaysia yang sering dijadikan sebagai lokasi transit dadah, Mat Zani menjelaskan terdapat beberapa faktor penyumbang termasuk kedudukan geografi, kepelbagaian budaya serta imej negara.
"Pertama sekali, negara kita terletak di lokasi yang strategik dan dikelilingi laut dalam selain berhampiran dengan negara jiran.
"Keduanya, Malaysia memiliki imej yang baik, sebagai contoh, penghantaran dari kawasan Segitiga Emas seperti Myanmar, Laos dan Thailand akan melalui pemeriksaan yang lebih ketat berbanding penghantaran dari Malaysia," katanya.
Jelasnya, komposisi masyarakat berbilang kaum di Malaysia membolehkan pelbagai bahasa digunakan termasuk Bahasa Inggeris dan Mandarin turut memudahkan komunikasi rentas sempadan.
Dalam pada itu, berkaitan isu sindiket yang menyewa premis untuk dijadikan lokasi menyimpan dadah, Mat Zani berkata, orang ramai diingatkan lebih berwaspada dan menyemak latar belakang penyewa terlebih dahulu.
"Jika anda syak seseorang yang mencurigakan ingin menyewa premis anda, hubungi kami segera agar kami boleh menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.