Isu ladang babi hanya mainan sentimen pembangkang - Tok Mat

Iklan
Mohamad (dua dari kanan) bersama calon BN DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir (kanan) menyantuni penduduk di Kampung Pasir, Temoh pada Jumaat.

TAPAH - Barisan Nasional (BN) menyifatkan isu ladang babi kononnya beroperasi secara haram di Tanjung Keramat di sini hanya mainan sentimen pihak pembangkang.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dakwaan yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) itu sengaja mahu menimbulkan kegusaran masyarakat.

Iklan
Iklan

"Sebagai pengundi dan orang di sini pun faham kawasan penempatan mereka, orang Tanjung Keramat sendiri pun tahu bahawa perkara itu tidak benar.

"Jadi jangan terperangkap dengan pihak yang hendak memainkan sentimen," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni orang ramai di Kampung Pasir, Temoh di sini pada Jumaat.

Iklan

Mohamad berkata, pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diingatkan untuk tidak terpedaya dengan tuduhan yang tidak berasas.

"Jangan kita dengar tuduhan sebegini kerana akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Iklan

"Negara kita negara berbilang kaum dan ada undang-undang. Jadi kalau beroperasi tanpa lesen, kerajaan negeri perlu ambil tindakan.

"Tapi saudara (wartawan) kata tadi dia beroperasi secara berlesen dan mengikut segala prosedur, saya tidak yakin bahawa ini akan menjadi masalah kepada orang tempatan," jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pemuda PN Perak, Hafez Sabri mendedahkan terdapat lambakan ladang babi beroperasi secara berlesen dan haram di DUN Ayer Kuning terutamanya di Kampung Tanjung Keramat yang majoritinya didiami masyarakat Melayu.

Kenyataan itu bagaimanapun ditempelak Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak yang menyifatkan tindakan menjadikan ladang babi sebagai isu perkauman bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah merupakan cubaan untuk mengaburi mata rakyat daripada kegagalan sendiri semasa memegang kuasa.