KUANTAN - Aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad menyokong sepenuhnya tindakan tiada sebarang kelulusan baharu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.
Beliau berkata sedemikian susulan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai isu pencerobohan tanah di negeri itu sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Ujarnya, ketegasan baginda terhadap isu pencerobohan tanah tersebut sangat dihargai dan tepat pada masanya.
"Saya menyambut baik titah Tuanku yang dilihat peka dan mengambil berat isu alam sekitar.
"Ia masih belum terlambat walaupun isu ini sudah berpuluh tahun berlalu demi kelestarian alam sekitar khususnya di Pahang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ujarnya, sudah tiba masanya tindakan mereka yang meneroka tanah secara haram dihentikan kerana sudah meraih banyak keuntungan selain menjejaskan alam sekitar.
Dalam titah tersebut, baginda juga memberitahu pencerobohan tanah menjadi musuh utama di negeri itu dan bukan hanya dadah dan penjenayah.
Titah baginda, sebanyak 14,494.908 hektar tanah kerajaan diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
"Lebih malang, 5,997.09 hektar hutan simpanan kekal (HSK) juga diceroboh kononnya atas nama pertanian tetapi hakikatnya rompakan terbuka terhadap harta negeri.
"Masalah ini bukan baru bermula semalam, ia berakar umbi sejak lebih empat dekad yang lalu dan ia berlaku tanpa pengetahuan beta.
"Namun, bukan niat beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan. Kita tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam," titah baginda lagi.