Kerajaan Perak digesa bincang dengan maahad tahfiz perubahan tarif air

Iklan
Mohd Akmal (dua dari kiri) menunjukkan bil air sebuah maahad tahfiz di Perak yang mengalami peningkatan didakwa berpunca daripada perubahan kod tarif.

IPOH – Kerajaan Negeri Perak digesa mengadakan libat urus bersama pengurusan maahad tahfiz di seluruh negeri ini susulan perubahan kadar kod tarif air yang dilaksanakan oleh Lembaga Air Perak (LAP) terhadap institusi tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin, berkata perubahan kod tarif daripada 41, iaitu kategori rumah ibadat dan institusi kebajikan kepada 21, iaitu kategori bukan domestik, nyata membebankan pengurusan maahad tahfiz.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perubahan kod tarif tersebut menyebabkan kenaikan bayaran bil air bulanan antara RM500 hingga RM1,000 bagi sebuah maahad tahfiz.

"Maahad tahfiz berperanan penting dalam membentuk masyarakat berilmu dan berakhlak. Ia beroperasi secara tidak berorientasikan keuntungan, sebaliknya bergantung kepada sumbangan masyarakat serta bersifat kebajikan.

Iklan

Senario perubahan kod tarif tersebut menyebabkan kesukaran dalam pengurusan kewangan maahad tahfiz,” katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, pada Jumaat.

Mohd Akmal berkata, dengan pendapatan yang terhad, maahad tahfiz perlu mengutamakan pembayaran utiliti yang sering kali mengganggu kelancaran aktiviti pendidikan.

Iklan

Katanya, pengurangan kos bil air maahad tahfiz boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti pendidikan, penyelenggaraan serta menyokong pelajar-pelajar miskin.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak LAP mengembalikan semula kod tarif 41 kepada maahad tahfiz, memandangkan peranan institusi tersebut adalah selari dengan rumah ibadat dan institusi kebajikan.

Mohd Akmal turut mencadangkan agar satu tarif khas diwujudkan khusus untuk maahad tahfiz dengan kadar yang tidak membebankan.