KUALA LUMPUR - Jenayah penipuan dalam talian membabitkan enam kategori modus operandi mencatatkan 12,110 kes dengan nilai kerugian RM573.7 juta dalam tempoh tiga bulan tahun ini setakat Mac.
Modus operandi itu ialah jenayah e-dagang, jenayah telekomunikasi, pinjaman tidak wujud, jenayah e-kewangan, love scam, pelaburan tidak wujud.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, berdasarkan jumlah kes terbabit, berdasarkan statistik dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas, jenayah penipuan online ini merekodkan 10,715 kes sekali gus peningkatan 1,395 kes atau 13 peratus.
Katanya, daripada jumlah itu, pecahan bagi jenayah e-dagang mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 19.8 peratus iaitu daripada 2,116 kes kepada 2,535 kes.
"Faktor peningkatan ini berdasarkan trend penggunaan platform dalam talian semakin meluas terutama menjelang sambutan Aidilfitri yang menyaksikan lebih ramai pengguna membuat pembelian secara digital.
"Selain itu, dalam tempoh terbabit juga, sebanyak 5,214 kes membabitkan jenayah telekomunikasi, penipuan pinjaman tidak wujud (1,404 kes), jenayah e-kewangan (711 kes), pelaburan tidak wujud (2,026 kes) dan love scam ( 220 kes)," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelasnya, kesemua modus operandi kategori jenayah ini turut mencatatkan peningkatan antara 1.6 hingga 17.1 peratus.
Beliau berkata, perkembangan pesat teknologi maklumat dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) juga dilihat sebagai antara penyumbang kepada peningkatan kes-kes ini.
Tambahnya, penjenayah kini turut memanfaatkan teknologi seperti penjana identiti digital palsu, laman web tiruan, perbualan automatik (chatbot) serta teknologi 'deepfake' untuk memperdaya mangsa.
"AI generatif juga membolehkan penciptaan kandungan yang kelihatan sahih dan meyakinkan, sekali gus menyukarkan pengguna untuk membezakan antara komunikasi yang tulen dan yang bersifat penipuan,” katanya.
Ujar Rohaimi, orang ramai diingatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan sentiasa menyemak latar belakang individu atau entiti sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan atas talian.
"Pengguna digalakkan untuk merujuk portal rasmi seperti 'SemakMule' milik PDRM serta mendapatkan maklumat terkini daripada laman sesawang JSJK dan agensi berkaitan,” katanya.