KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa beliau tidak pernah mencadangkan atau memberikan senarai nama bagi pelantikan pengarah SRC International Sdn Bhd.
Najib, 73, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Kwan Will Sen yang mewakili SRC, semasa pemeriksaan balas dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadapnya, di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Beliau berkata, peranannya dalam SRC International Sdn Bhd (SRC) terhad kepada kuasa kelulusan dan tidak menguruskan hal ehwal syarikat pelaburan strategik negara itu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau hanya meluluskan pelantikan ahli lembaga pengarah yang dikemukakan kepadanya.
Najib selaku defendan tunggal berkata, peranannya dalam syarikat itu hanyalah terhad kepada kuasa memberikan kelulusan dan veto.
“Jadi, saya tidak terlibat dalam mencadangkan atau memilih calon bagi ahli lembaga pengarah syarikat.
“Saya menggunakan kuasa veto di bawah Perkara 67 Penggabungan dan Pengambilalihan SRC, tetapi saya tidak memulakan pelantikan pengarah,” kata bekas pemimpin UMNO itu.
Najib berkata, beliau tidak dapat mengemukakan bukti pelantikan berkenaan kepada mahkamah serta memaklumkan bahawa beliau tidak mengenali sebahagian daripada barisan pengarah terbabit secara peribadi.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, beliau tidak biasa dengan bekas pengarah SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, sebaliknya individu itu disyorkan oleh pihak pengurusan berdasarkan kelayakannya.
Sebelum itu, Najib dirujuk kepada surat bertarikh 1 Ogos 2011 yang menunjukkan kelulusannya terhadap pelantikan Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Yassin, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai Ahli Lembaga Pengarah SRC.
Berdasarkan saman yang difailkan pada 2021, SRC dan Gandingan Mentari memohon supaya mahkamah mengisytiharkan Najib sebagai pihak yang bertanggungjawab atas penerimaan dana RM42 juta milik syarikat itu.
SRC International sebelum ini telah menggugurkan lima pengarahnya daripada saman tersebut namun mengekalkan Najib sebagai defendan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan Najib memfailkan notis pihak ketiga terhadap mereka.
Perbicaraan bersambung pada Rabu minggu depan.