REMBAU - Seorang lelaki Pakistan maut selepas terjatuh dari ketinggian 12 meter ketika sedang melakukan kerja pemasangan solar di sebuah kilang di sini, pada Khamis.
Mangsa berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, ketika kejadian pada jam 11.47 pagi itu, mangsa bersama tiga rakan sekerja sedang melakukan kerja pemasangan solar di atas bumbung kilang.
"Si mati didapati berjalan di atas bumbung tanpa memakai tali pinggang keselamatan sebelum bumbung pecah, menyebabkan si mati terjatuh dari ketinggian 12 meter dan terkena leaching tank (kolam air rendaman sarung tangan).
"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, kira-kira jam 12.15 tengah hari oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Pedas," katanya menerusi kenyataan.
Katanya, mayat telah dihantar ke Hospital Rembau untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.