KOTA BHARU - Hasrat menyambut ulang tahun kelahiran sepupu tidak kesampaian apabila seorang pelajar tingkatan satu ditemukan lemas di tali air Kampung Tunjung, di sini, pada petang Rabu.
Mangsa, Muhamad Farish Daniel Shahrul Irwan al-Hafiz, 13, merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mulong ditemukan lemas dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.
Difahamkan, ini kali pertama mangsa mandi di kawasan tali air berkenaan.
Sepupu mangsa, Alif Hakimi Mohd Azam, 19, berkata, adik sepupunya itu pulang dari sekolah dan masuk ke dalam biliknya sambil memberitahu dia menduduki peperiksaan di sekolah pada hari berkenaan.
"Dia mesra seperti biasa, picit-picit bahu saya dan beritahu lapar.
"Tetapi selepas itu, tanpa sempat makan, dia terus keluar rumah dan tidak lama selepas itu kawannya datang ke rumah memberitahu dia lemas serta tidak timbul di tali air,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Mulong di sini pada Khamis.
Alif Hakimi juga penuntut sebuah kolej berkata, sebaik mengetahui kejadian itu, dia bergegas ke tali air dan ketika sampai di lokasi lemas mendapati penduduk kampung sudah mengangkat mangsa yang dalam keadaan kebiruan ke darat.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia dan dibawa Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.
Menurut Alif Hakimi, dia dan mangsa dijaga oleh nenek mereka, Roezan Seman yang berusia 60-an sejak bayi dan sangat rapat umpama adik-beradik kandung.
Kata Alif Hakimi, mereka merancang untuk menyambut hari jadinya pada malam itu bersama keluarga.
"Kami memang nak sambut ringkas lepas Maghrib. Nenek pun dah masak mi kari.
"Tapi Farish keluar tanpa beritahu pun dia nak ke mana dan tak sangka kali terakhir kami bercakap semalam,” kata Alif Hakimi.
Mangsa keluar rumah sekitar jam 4.30 petang bersama seorang rakan sebelum mandi di tali air kira-kira 500 meter dari rumah mereka.
Mengikut rakan mangsa yang mandi bersama, mangsa sempat melambai tangan dan diminta untuk mencapai kayu tetapi tidak berjaya sebelum tenggelam.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Kandis, Salor kira-kira jam 10 pagi pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian.