Tarif Trump: Tak mustahil harga iPhone boleh cecah harga kereta

Iklan
Pengguna iPhone di seluruh dunia mungkin perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan harga yang ketara ekoran keputusan tarif oleh Trump. Foto Agensi, gambar kecil: Tengku Zafrul

SHAH ALAM - Harga jualan telefon pintar jenama terkemuka Apple, iPhone dijangka melambung, bahkan tidak mustahil menjangkau harga sebuah kereta sekiranya Amerika Syarikat (AS) terus menaikkan tarif timbal balik yang dikenakan terhadap negara seluruh dunia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia kerana komponen bagi pembuatan iPhone datang dari seluruh dunia termasuk cip dari Taiwan, skrin dari Korea Selatan, bateri dari China, modem dan memori dari AS, storan dari Jepun dan kamera dari pelbagai negara yang akhirnya dipasang di China.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kos bagi iPhone adalah AS$549.73 iaitu RM2,424 dan jika dikenakan tarif sebanyak 145 peratus, ia mungkin akan mencecah AS$1,400 bersamaan dengan RM6,174.

"Jika dibuat sepenuhnya di AS, ada yang mengatakan ia boleh mencecah AS$3,500 atau RM16,000. Bila harga naik di AS, negara lain pun terkesan kerana harga iPhone global biasanya ikut harga AS.

Iklan

"Terkini, AS sudah beri pengecualian kepada komponen telefon pintar dan komputer khususnya dari China. Legalah sekejap peminat-peminat iPhone.

"Tapi pengecualian ini pun kita tak tahulah sampai bila. Bila-bila masa sahaja Trump boleh naikkan balik tarif," katanya menerusi hantaran video di Facebook.

Iklan

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, harga iPhone boleh meningkat sehingga AS$3,500 iaitu kira-kira RM15,740, hampir tiga kali ganda daripada harga semasa, jika syarikat itu memindahkan operasi pengeluarannya dari China ke AS.

Langkah ini adalah sebahagian daripada dasar tarif baharu yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump yang mengenakan cukai import sebanyak 104 peratus ke atas barangan dari China.

Bagaimanapun, Sabtu lalu, AS dilaporkan mengecualikan telefon pintar, skrin komputer, cip dan komponen elektronik daripada dikenakan tarif dan ia terpakai kepada semua barangan elektronik yang dieksport ke AS.

Langkah tersebut diambil selepas pentadbiran Trump mengenakan tarif minimum sebanyak 145 peratus ke atas barangan dari China yang dieksport ke AS.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan dunia dan semikonduktor adalah antara eksport utama negara.

Malah ketika pandemik Covid-19 katanya, kilang kenderaan Ford terpaksa menghentikan operasi kerana tidak mendapat bekalan cip dari Malaysia.

"Cip itu kecil saja tapi bila tiada, kilang besar pun tidak boleh jalan. Semua negara saling bergantung dan tiada satu negara pun yang semuanya dibuat sendiri.

"Tarif ini seperti kesesakan. Semua tersekat. Daripada pengeluar, pengguna sampailah pelabur. Perdagangan terbuka penting, terutama untuk negara perdagangan seperti Malaysia," jelasnya.