KUANTAN - Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menggesa kerjasama semua pihak bagi mengesan anak yatim serta yatim piatu akibat Covid-19 untuk dibantu.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya percaya masih ramai anak-anak yang terkesan berada di luar sana dan memerlukan pembelaan sewajarnya.
"Kita mohon kerjasama wakil rakyat, pegawai daerah atau pemimpin masyarakat untuk bersama-sama mengesan anak-anak ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa YKM di Hotel Grand Darul Makmur di sini pada Sabtu.
Berkenan berangkat pada majlis itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Terdahulu, seramai 57 anak yatim di bawah naungan YKM disantuni Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal sempena Program Membeli-belah Hari Raya Aidilfitri di sebuah pusat beli-belah di sini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan majlis tersebut bukan sekadar acara berbuka puasa, sebaliknya ia simbol kasih sayang, solidariti dan harapan kepada mereka.
Ujar bekas Perdana Menteri itu, mereka diuji dengan kehilangan besar, namun tidak pernah kehilangan perhatian dan pembelaan.
"Kita mahu anak-anak ini juga menyambut Aidilfitri dengan gembira seperti rakan-rakan mereka.
"Sesungguhnya, sokongan dan dukungan berterusan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta Kerajaan Negeri Pahang terhadap usaha-usaha kebajikan seperti ini menguatkan lagi iltizam patik dan warga YKM untuk terus membantu anak-anak ini sehingga mereka berjaya," katanya lagi.
Sebelum itu, beliau memaklumkan YKM ditubuhkan pada Oktober 2021 sebagai respons terhadap kesan mendalam pandemik Covid-19 terhadap anak-anak yang kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, tujuan utama yayasan itu adalah untuk memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya agar masa depan mereka terus terjamin.
"Alhamdulillah, sehingga hari ini anak-anak yayasan menerima bantuan bulanan bagi meringankan beban sara hidup serta bantuan khas seperti bantuan perayaan dan bantuan kembali ke sekolah," katanya.
Beliau menambah YKM tidak mahu sekadar membantu dari segi kebajikan asas, sebaliknya mahu membina masa depan mereka.
Menurutnya, ia sejajar dengan objektif penubuhan YKM untuk memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna.
"Malah, tahun ini telah diisytiharkan sebagai Tahun Pendidikan YKM dan fokus kita adalah untuk memastikan anak-anak ini mendapat pendidikan yang terbaik.
"Antaranya, pada tahun ini YKM menyediakan tuisyen dalam talian secara percuma kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya lagi.